CYBERJAYA – Mangsa kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi merupakan seorang yang komited dalam menjalankan tanggungjawab terutamanya melibatkan kerja-kerja kebajikan.
Presiden Pengawal Peribadi Malaysia, Muhamat Mohd Yusoff berkata, mangsa Muhammad Nur Hadith Zaini atau lebih dikenali dengan panggilan Along sentiasa kehadapan sekiranya persatuan mahu melakukan apa-apa sahaja aktiviti.
“Dua tiga hari sebelum hari raya hari tu, kami ada buat majlis berbuka puasa bersama dengan anak-anak yatim.
“Dialah (Muhammad Nur Hadith) yang bersungguh-sungguh nak buat itu dan ini. Mungkin semua itu datang pada diri dia sebab dia ada anak istimewa yang perlu dihargai,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Hospital Cyberjaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhamat berkata, beliau tidak menyangka akan mendapat perkhabaran mengenai kisah malang yang menimpa Muhammad Nur Hadith yang merupakan salah seorang ahli dalam persatuan dinaunginya.
Katanya, dia terkejut selepas mendapat makluman menerusi aplikasi Whatsapp berkenaan salah seorang anggota persatuannya terkena tembakan ketika sedang menjalankan tugas.
“Pada mulanya saya tak tahu pun dia (Muhammad Nur Hadith) yang jadi mangsa dalam kes tembak tu. Maklumlah, maklumat yang saya dapat Along yang kena tembak…tapi, ramai orang nama Along ni. Tak sangka pula dia yang jadi mangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, kehadirannya bersama beberapa ahli persatuan di hospital Cyberjaya pada hari ini adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada Muhammad Nur Hadith.
Katanya, pihak persatuan tidak pernah mengabaikan nasib yang menimpa ahli mereka dan akan sentiasa menjaga kebajikan mengikut apa yang termampu.
Sementara itu, Setiausahanya, Mohd Affan Mohd Aris berkata, beliau sedih kerana mangsa dan seorang lagi pengawal yang bertugas ketika insiden itu tidak bersenjata untuk mempertahankan diri dan terdedah kepada risiko bahaya seperti ditembak.
Katanya, pihak persatuan bersedia membantu kebajikan keluarga mangsa yang tinggal di Kuala Lumpur kerana difahamkan mangsa ada seorang anak orang kurang upaya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan pengawal peribadi yang lain menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk lebih bersiap siaga dengan perlu mengambil lesen senjata api.
Tambahnya, mereka juga digalakkan menyertai mana-mana kelab menembak manakala, majikan diseru mengupah pengawal lengkap bersenjata sebagai langkah keselamatan. – MalaysiaGazette