Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal .- Foto MOHD ADZLAN, 07 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan dakwaan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr. Sabirin Ja’afar bahawa pemimpin parti itu mengugut ahli sendiri sebagai tidak masuk akal.

Tegasnya, kenyataan yang dibuat oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Datuk Razali Idris sebelum ini bukan ugutan sebaliknya hakikat yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang parti apabila menekankan kesan tindakan wakil rakyat kerana mengkhianati parti dan pengundi.

“Ini adalah pandangan seorang yang tidak masuk akal, pandangan seseorang bekas ahli Bersatu yang kecewa yang kalah dalam pemilihan tiba-tiba muncul semula buat kenyataan kononnya Bersatu mengugut.

“Apa kejadah dia cuba sampaikan ini? Adakah dia ini pakar undang-undang atau auta undang-undang? Apakah dia tidak faham Akta Anti Lompat Parti yang sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan dengan mengatakan perlembagaan parti dianggap mengugut? Itu bukan mengugut. Mengugut itu memberi ancaman kepada ahli-ahli Parlimen, kami ada ugut nak bunuh atau belasah? Tidak berlaku sama sekali.

“Apa yang kami buat selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, demokrasi berParlimen dan perlembagaan parti, yang semua enam orang itu ialah pengkhianat parti. Jadi saya tidak faham, apa yang Sabirin ini melalut sebenarnya?,” soalnya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Sabirin ketika sidang media hari ini mendakwa pemimpin Bersatu menyalahi undang-undang khususnya di bawah peruntukan Seksyen 124 Kanun Keseksaaan dengan mengugut Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong parti musuh disifatkan sebagai menyalahi undang-undang.

Beliau turut mendakwa kenyataan-kenyataan pemimpin itu melanggar Seksyen 124, 24B dan 124C Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang dikeluarkan merupakan cubaan mendorong atau memaksa keenam-enam ahli Parlimen supaya menahan diri daripada menjalankan dengan apa-apa cara kuasa-kuasa yang sah sebagai wakil rakyat.

Membidas dakwaan berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal menegaskanm bekas ahli Bersatu itu kecewa dengan parti seterusnya mebuat tuduhan yang tidak munasabah.

“Saya rasa dia orang yang sebenarnya kecewa dan jahil tentang Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Bersatu dan cuba mengada-adakan sesuatu yang tidak ada dengan mengatakan kenyataan Presiden dan Ketua Penerangan satu ugutan walhal ianya satu kenyataan yang selari dengan perlembagaan parti dan Perlembagaan Persekutuan.

“Anda (enam Ahli Parlimen) telah khianati perlembagaan parti Perlembagaan Persekutuan, demokrasi berParlimen dan pengundi,” katanya lagi.

Pada 2 April yang lalu dilaporkan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Pindaan dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette