Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap hampir 20 minit dalam sebuah kereta yang terkunci selepas ditinggalkan ibunya untuk ke kedai berhampiran di Taman Lagenda, Melaka, petang tadi.

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap hampir 20 minit dalam sebuah kereta yang terkunci selepas ditinggalkan ibunya untuk ke kedai berhampiran di Taman Lagenda, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, kanak-kanak tersebut yang sedang lena tidur bagaimanapun berjaya diselamatkan sepasukan bomba.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Penguasa Bomba Kanan I (KUP) Mohd. Ismail Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa pada pukul 2.56 petang melalui talian MERS 999.

“Sebaik tiba, didapati seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sedang nyenyak tidur dalam kereta jenis Honda FD itu yang berkunci ketika enjinnya masih hidup.

“Pasukan Bomba berjaya membuka pintu kereta dalam masa lima minit menggunakan peralatan khas sebelum kanak-kanak itu yang dalam keadaan sihat diserahkan kepada ibunya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, difahamkan kanak-kanak tersebut telah terkunci selama 20 minit selepas ibunya keluar ke kedai berhampiran dan cuba dibantu orang ramai namun gagal. – MalaysiaGazette