Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Na Chun Kian, 41, sejurus pertuduhan dalam bahasa Mandarin dibacakan jurubahasa mahkamah.

MELAKA – Padah mengugut untuk mencederakan teman wanitanya kerana tidak diberikan wang dua bulan lalu, seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara empat bulan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Na Chun Kian, 41, sejurus pertuduhan dalam bahasa Mandarin dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 39 tahun kerana enggan memberinya wang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor, Taman Bachang Baru dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 9 malam hingga 11 malam 27 Februari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara mksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak telah diugut oleh tertuduh yang juga teman lelakinya supaya diberikan wang.

Sekiranya permintaan tersebut tidak dituruti, tertuduh akan mengapa-apakan mangsa termasuk ahli keluarganya yang berada di rumah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Februari lalu. – MalaysiaGazette