Ahmad Zahid Hamidi wizard frogs PAS UMNO Abdul Hadi Awang ducks Mohd Puad Zarkashi Parti Kuasa Rakyat politics
Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberi ingatan isu titah adendum atau tambahan berhubung tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak boleh menggugat hubungan mesra dalam kerajaan.

Mohd. Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit  berkata, ini kerana akan wujud tuduhan kerajaan ingkar terhadap titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan (YDP) Agong ke-16.

“Kenapa menyusahkan diri sendiri. Apa perlu jadi defensif. Paling teruk kerajaan akan dikutuk ingkar titah YDP Agong.

“Hubungan mesra dalam kerajaan boleh terjejas. Akan ada tuduhan wujud konspirasi. Soalnya apakah Peguam Negara salah bagi nasihat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, keputusan meletakkan Najib sebagai ‘tahanan rumah’ kini berada sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

Katanya, penyelesaian terbaik adalah untuk kerajaan melaksanakan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Mohd. Puad menegaskan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mungkin sanggup menulis afidavit bagi menyokong permohonan Najib di mahkamah sekiranya titah adendum itu tidak wujud.

“Kenapa Kerajaan sembunyi titah tambahan? Itu pertanyaan peguam Najib. Penyelesaian terbaik ialah kerajaan mesti laksanakan segera titah tersebut.

“Rakyat yakin warkah tambahan itu wujud dan benar. Mana mungkin Zahid Hamidi selaku TPM sanggup buat afidavit. Lagi pun Peguam Negara tidak buat penafian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Timbalan Perdana Menteri itu menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Najib, 70, sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan Titah Adendum berkenaan.- MalaysiaGazette