JASIN – Seorang wanita bersama tiga rakan lelakinya antara empat sekawan diberkas polis selepas disyaki menyamun pemandu teksi dinaiki berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Parit Keliling, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa warga emas berusia 72 tahun yang memandu bersendirian telah didatangi empat suspek berumur antara 26 hingga 39 tahun yang mahu menyewa teksinya semasa berada di Stesen Bas Tampin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, sebaik tiba di Jalan Parit Keliling menghala ke arah Rim, seorang suspek lelaki telah meminta mangsa memberhentikan teksi di dalam kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama.
Jelasnya, suspek kemudian terus mencekik leher warga emas itu dan memukulnya dengan tangan sehingga mangsa tidak sedarkan diri.
“Sebaik sedar, pengadu mendapati dirinya berada di semak ladang kelapa sawit dalam keadaan berdarah dan cedera pada bahagian muka.
“Mangsa turut mengalami lebam mata sebelah kiri selain bengkak bibir dan paha kiri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan, pengadu mendapati dompetnya mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan wang tunai RM300 telah dilarikan suspek.
“Turut dilarikan adalah telefon bimbit, kunci rumah berserta teksi Proton Iswara bernombor pendaftaran WMF2866.
“Bertindak atas laporan, polis menjalankan siasatan sebelum berjaya memberkas keempat-empat suspek berusia di sebuah hotel di Bukit Baru pada jam 6.30 petang hari yang sama semalam,” katanya.
Tambah Ahmad Jamil, siasatan mendapati suspek pertama berusia 34 tahun bekerja sebagai penjual tisu dan memiliki 10 rekod jenayah dan narkotik.
“Suspek ketiga dan keempat masing-masing berusia 30 tahun dan 39 tahun pula adalah pekerja am dan memiliki lima dan tujuh rekod jenayah dan dadah.
“Wanita berusia 26 tahun itu pula tidak bekerja dan turut mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan. – MalaysiaGazette