Temubual Skop MG bersama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Haji Ahmad Maslan mengenai Pasca Belanjawan 2024 di Studio MG, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar daripada 191 Ketua-ketua Bahagian UMNO bersetuju dengan ikrar afidavit Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung Titah Adendum yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengenai kebenaran melaksanakan baki hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi tahanan rumah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, respon itu ditunjukkan dalam aplikasi WhatsApp yang mengandungi 191 Ketua-ketua Bahagian parti termasuk Tengku Datuk Seri Zaftul Tengku Aziz.

“Majoriti (daripada 191 Ketua Bahagian UMNO) setuju. Jadi yang masukkan saya sendiri saya pantau komen Ketua Bahagian lihat apa dibuat Presiden betul dan janji presiden ketika bertemu ketua bahagian.

“Presiden janji sehabis baik kerana tahu (Datuk Seri) Najib tak diberi keadilan seadilnya,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri tentunya tahu akan implikasi terhadap langkah ikrar afidavit yang dibuat beliau.

“Takkan Zahid tak tahu implikasi. Tentu tahu implikasi sebab itu perakuan sumpah. Tentu Zahid mengetahui beliau sebut itu perkara benar kita pegang pada itu

“Kepimpinan UMNO menyokong tindakan beliau bukan hanya sokong harap berjaya apa yang diusahakan,” katanya.

Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

Beliau mendakwa telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Januari lalu.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu dilaporkan akan mendapatkan nasihat undang-undang dan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit yang diikrarkan Ahmad Zahid.

Tindakan itu dipercayai susulan permohonan Najib yang mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – MalaysiaGazette