Ahmad Faizal Karim

SEGAMAT – Salah seorang mangsa nahas helikopter, Komander Muhamad Amir Mohamad, 44, semasa hidupnya pernah menyuarakan hasratnya untuk memberikan motivasi kepada anak-anak peneroka Felcra Bukit Kepong.

Bagaimanapun Muhammad Amir terkorban dalam nahas dua buah helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi.

Perkara itu diceritakan sendiri rakan baiknya, Ahmad Faizal Karim, 43, mengenai hasrat arwah yang bersungguh-sungguh mahu merealisasikan impiannya itu tahun ini pada malam sebelum 1 Syawal pada 9 April lalu.

“Masa jumpa malam raya tempoh hari, semangatnya lain macam walaupun sebelum ini pernah juga beberapa kali beliau menceritakan hasratnya itu untuk buat program motivasi membantu pelajar di kampung ini.

“Malah dia berkali-kali mengatakan jika dibenarkan pegawai atasan, dia mahu bawa helikopter mendarat di kampung ini membuktikan anak peneroka juga mampu menjadi juruterbang,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga Ketua Kampung Felcra Bukit Kepong berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumah keluarga Allahyarham Muhamad Amir di sini malam ini.

Bercerita lanjut, beliau berkata, walaupun berjawatan tinggi sebagai Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM, arwah semasa hidupnya seorang rakan yang amat merendah diri.

“Malah penduduk kampung pun ada yang belum tahu jawatannya itu membuatkannya begitu disenangi masyarakat di sini.

“Sebagai rakan sejak kecil, saya terkilan kena hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast