Penguat kuasa MBJB merampas barangan perniagaan warga asing dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan.

JOHOR BAHRU – Penganjur yang membenarkan warga asing menjaja di tapak pasar malam akan dikenakan notis penggantungan selama dua minggu.

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, selepas tempoh tersebut, jika didapati masih terdapat penjaja warga asing menjaja dalam tapak pasar malam, MBJB tidak teragak-agak untuk membatalkan terus penganjuran tanpa sebarang notis lagi.

Amaran itu dikeluarkan selepas MBJB mengambil tindakan penguatkuasaan secara bersepadu di 11 lokasi pasar malam sekitar kawasan MBJB bermula 15 April hingga 20 April lalu.

11 lokasi pasar malam tersebut adalah Pasar Malam Taman Abad, Kampung Melayu, Taman Pelangi,Taman Johor Jaya, Plentong, Taman Desa Jaya, Taman Daya, Taman Ehsan Jaya, Taman Megah Ria, Bandar Baru Uda dan Taman Desa Cemerlang.

Tindakan itu susulan aduan yang dikemukakan warga bandar raya ini.

MBJB mengingatkan penganjur pasar malam agar mematuhi syarat yang ditetapkan dengan tidak membenarkan penjaja warga asing untuk menjaja di kawasan pasar malam masing-masing.

Mengulas operasi berkenaan, MBJB berkata, operasi bersepadu ini turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor dan Polis Diraja Malaysia kerana ia turut melibatkan tangkapan warga asing.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, warga bandar raya boleh terus menyalurkan aduan berkaitan aktiviti perniagaan warga asing melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBJB ,” katanya. – MalaysiaGazette