ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perlu mencontohi Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) yang memberikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan.

ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, sebagai sebahagian daripada parti komponen Kerajaan Perpaduan, pendekatan Ab Rauf perlu selari dan bukannya bertentangan dengan prinsip keadilan yang diamalkan di Selangor dan Pulau Pinang.

“Negeri-negeri yang ditadbir PH seperti di Selangor di mana ADUN Perikatan Nasional (PN) mendapat RM400,000 setahun, peruntukan untuk pusat khidmat rakyat. Datuk Seri Amirudin Shari boleh berlaku adil di dalam DUN-DUN bukan kerajaan ini.

“Sahabat saya di Pulau Pinang mendapat peruntukan untuk pusat khidmat dan pembangunan, malah mereka boleh berjumpa dengan ketua menteri yang sedia mendengar dan menyalurkan peruntukan kepada ADUN-ADUN bukan kerajaan.

“Kenapa Ketua Menteri Melaka memilih untuk menjadi manusia istimewa dengan berlaku zalim, tak nak bagi peruntukan untuk rakyat tapi hanya bagi RM3,000 sebulan untuk pusat khidmat rakyat bagi dua ADUN bukan kerajaan.

“Adakah RM3,000 cukup untuk menolong rakyat sedangkan kamu mempunyai peruntukan besar, melakukan apa sahaja tapi tidak membantu rakyat di DUN bukan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, media melaporkan Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri Melaka tiada rancangan untuk menyalurkan peruntukan kepada dua ADUN pembangkang di negeri itu.

Ab Rauf berkata, tiada perbincangan mengenai perkara itu pada masa ini atau masa depan dan kerajaan negeri juga tidak akan mempertimbangkan permohonan itu jika ada.

Sebaliknya Ab Rauf berkata, dua kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) itu kini ditadbir seorang Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi membela nasib penduduk di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Aleef mendakwa, peruntukan dua DUN pembangkang di Melaka itu tidak disalurkan kepada rakyat, sebaliknya “dibawa lari” untuk kegunaan di kawasan lain.

“Peruntukan untuk DUN Sungai Udang sebenarnya telah dibawa lari pergi ke DUN Paya Rumput.

“Ketua Menteri kata peruntukan itu disalurkan ke DUN Sungai Udang melalui penyelaras Japerun di sana, sedangkan ia disalurkan oleh penyelaras ini, kemudian dibawa ke DUN Paya Rumput

“Ketidakadilan berlaku untuk rakyat DUN Sungai Udang, ketua menteri memangsakan rakyat yang susah dekat DUN Sungai Udang dengan tidak salurkan peruntukan kepada ADUN sebenarnya.

“Duit itu sepatutnya disalurkan untuk keseluruhan rakyat, tanpa mengira parti tapi dibawa ke Paya Rumput, jadi ini masalah yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, jika Ab Rauf masih berlaku zalim terhadap rakyat Melaka, beliau tidak menolak kemungkinan Ketua Menteri itu hanya bertahan untuk satu penggal sahaja.

“Saya tak perlu duit peruntukan, tetapi peruntukan itu mesti disalurkan kepada rakyat, ini kezaliman yang dilakukan oleh ketua menteri.

“Kamu akan jatuh, kamu akan jadi ketua menteri sepenggal, hanya bertahan selama tiga tahun dan selepas itu kamu pasti akan jatuh kerana Allah membalas perbuatan zalim, jahat yang kamu lakukan.

Katanya lagi, peruntukan kawasan sebenarnya adalah untuk kegunaan mana-mana wakil rakyat sama ada ADUN atau Ahli Parlimen kerana ia hak rakyat, dan bukannya duit bantuan kepada pihak pembangkang.

“Saya tak perlukan duit bantuan daripada seorang ketua menteri yang diangkat dengan cara menjatuhkan ketua menteri sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette