Jenazah dibawa melintasi hadapan rumah keluarga untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum sekali lagi disolatkan di Masjid Jamek Al Muqorrobin, kira-kira 850 meter dari rumahnya.

MUAR – Jenazah Komander Allahyarham Muhamad Amir Mohamad tiba di pekarangan Masjid Jamek Al Muqorrobin di sini pukul 10.40 malam tadi.

Van yang membawa jenazah Allahyarham tiba dari Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Gua Permai,di Jalan Tambun, Ipoh itu akan disolatkan sekali lagi.

Ratusan individu terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hadir sejak petang tadi bagi memberi penghormatan terakhir.

Jenazah akan dikebumikan mengikut istiadat tentera di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Felcra Bukit Kepong.

Dalam insiden pukul 9.32 pagi semalam, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang serta pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua 10 mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Pegawai Memerintah Skuadron 502 berusia 44 tahun itu yang merupakan juruterbang pesawat Fennec dan menyertai TLDM sejak hampir 25 tahun lalu meninggalkan isteri dan tiga anak berusia 16, 14 dan tiga tahun. – MalaysiaGazette