MELAKA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan program Mini Ulul Albab di semua 49 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara bermula tahun ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan tambahan kepada lapan daripada keseluruhan 57 MRSM yang mempunyai program khusus Ulul Albab.
“Tetapi bermula tahun ini MRSM akan memperkenalkan progam Mini Ulul Albab yang mana pelajar-pelajar ini sekurang-kurangnya mesti atau disarankan untuk menghafal empat juzuk al-Quran.
“Mereka mesti menghafaz Juzuk 1, 2, 3 dan juzuk 30 sepanjang pengajian di MRSM yang mana semua MRSM akan memulakan program mini ini kecuali lapan MRSM yang telah dikhususkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan LOCCA Cafe, iaitu jenama di bawah Program Pembangunan Rangkaian Restoran Bumiputera MARA di Dataran Pahlawan Megamall, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Choo Chin.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, MARA mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk program pembangunan usahawan di Melaka sepanjang tahun ini.
Jelasnya, bantuan itu akan memberi manfaat kepada 8,000 hingga 10,000 usahawan Bumiputera baru dan sedia ada sekali gus melonjakkan lagi perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Ini termasuklah dari segi program-program pembiayaan, latihan, naik taraf kemahiran sedia ada termasuklah meneroka kemahiran baru bagi memastikan perniagaan mereka berdaya maju dan berdaya saing.
“MARA mahu memastikan perniagaan itu ada kelangsungan dan nilai kemampanan seperti yang dihasratkan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette