Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menstruktur semula semua ahli di bawah 55 tahun daripada dua akaun kepada tiga akaun, berkuatkuasa 11 Mei 2024.

Penstrukturan semula itu membabitkan Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan akan mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan dan Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

Selain itu, Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek yang mana simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Berikutan itu Ahli yang masih belum mendaftar KWSP i-Akaun adalah digalakkan untuk melakukannya bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dapat dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zulqarnain menambah, inisiatif itu bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahlinya.

Jelasnya, dengan penambahbaikan itu, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar ini.”

Sementara itu, KWSP menerusi kenyataan sama berkata, pada 11 Mei 2024, semua akaun ahlinya di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun itu dan baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Katanya semua caruman selepas 11 Mei ini akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan 75% ke dalam Akaun Persaraan, 15% ke dalam Akaun Sejahtera dan 10% ke dalam Akaun Fleksibel.

“Antara 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

“Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera,” katanya.

KWSP berkata, Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Katanya, sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli.

Kaedah pindahan adalah mengikut pecahan seperti di bawah:

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas

Pindahan akan dibuat seperti berikut:

  • Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;
  • Lima per tiga puluh (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan
  • Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

 Baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang dari RM3,000

Pindahan akan dibuat seperti berikut:

  • Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
  • Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.
Ringkasan pindahan amaun permulaan

Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan ini boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Menurut KWSP, perbezaan dalam kaedah pengagihan itu adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka. – MalaysiaGazette