Farosham Naizamohideen

MELAKA – Lebih 30 usahawan bumiputera di negeri ini memerlukan suntikan dana ‘penyelamat’ daripada kerajaan bagi mengelak mereka berisiko gulung tikar.

Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Melaka, Farosham Naizamohideen berkata, kebanyakan mereka adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dikategorikan dalam survival gred.

Menurutnya, kebanyakan mereka dalam bidang pembuatan makanan dan kraftangan kini sedang cuba bertahan kesan daripada pasca pandemik Covid-19.

“Namun dengan pengumuman peruntukan RM20 juta oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu usahawan bumiputera di Melaka tahun ini, ia amat membantu.

“Terima kasih kepada MARA kerana usaha yang juga pernah dibincangkan bersama DPPM sebelum ini sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan mereka daripada gulung tikar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri DPMM di sini hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut, Farosham berkata, secara keseluruhannya, DPMM Melaka mempunyai lebih 100 ahli dengan 10 hingga 30 peratus usahawan berada dalam gred survival.

Semalam, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk program pembangunan usahawan di Melaka sepanjang tahun ini.

Jelasnya, bantuan itu akan memberi manfaat kepada 8,000 hingga 10,000 usahawan bumiputera baru dan sedia ada sekali gus melonjakkan lagi perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Ini termasuklah dari segi program-program pembiayaan, latihan, naik taraf kemahiran sedia ada termasuklah meneroka kemahiran baru bagi memastikan perniagaan mereka berdaya maju dan berdaya saing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast