KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) menolak sekeras-kerasnya tohmahan oleh penulis blog, Murray Hunter, yang menuduh suruhanjaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran kerajaan sekarang.
Susulan itu, SKMM telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya ke atas Murray Hunter dan lain-lain pihak berkaitan.
Menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas, SKMM berkata, ia melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung di dalamnya.
“Segala tindakan penguatkuasaan yang diambil SKMM adalah mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasanya sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara,” jelasnya.
Sehubungan itu, penulisan Murray Hunter dilihat berunsur fitnah apabila beliau secara terbuka telah menuduh MCMC bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk kepentingan diri.
Beliau turut melemparkan tohmahan bahawa SKMM dan PDRM bertindak menakut-nakutkan masyarakat.
Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.
Selain itu, tindakan memuat naik kandungan yang memfitnah dan menghina SKMM juga merupakan satu kesalahan.
SKMM berkata, sekiranya Murray Hunter mempunyai sebarang aduan terhadap suruhanjaya itu, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi. – MalaysiaGazette