KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menyifatkan pengumuman kerajaan negeri mahu membangunkan sistem pengangkutan rel kereta api laju maglev di Pulau Langkawi dalam tempoh terdekat sebagai kelakar.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, itulah masalah yang dihadapi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor yang didakwanya gemar ‘bermimpi sampai ke bintang’ tetapi tindakannya masih tidak selari dengan angan angannya.
“Kalau hendak bermimpi sahaja, tidur cukup, umum sana sini pasaipa? Fikir apabila seorang teknokrat yang dikatakan bagus seperti Haim Hilman ada dalam kerajaan negeri, pembangunan kerajaan negeri akan jadi lebih bijak, teratur dan realistik tetapi sama sahaja, tiada beza. Orang kata, 2×5, 5×2.
“Langkawi itu besar mana? Dari pekan Kuah hingga ke Padang Mat Sirat hanya 15.5 kilometer (km) sahaja. Kalau ikut perancangan Sanusi, dari jeti Kuah ke Pantai Chenang hanya 19 km sahaja.
“Kalau ini sahaja jaraknya, perlu ke kereta api Maglev ini? Orang tidak betul sahaja cadang perkara seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Kerajaan Kedah mengumumkan akan membina sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi pada masa hadapan.
Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih bagi melaksanakan kajian projek yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy menambah, kerajaan negeri perlu mengambilkira kapasiti penggunaan kerana purata setahun pelancong sebanyak tiga juta pelancong.
Katanya, sehari hanya dalam 8,000 orang dan dicampur dengan 100,000 penduduk, mungkin yang mengunakan kereta api itu dalam 10,000 penumpang sahaja.
“Jika kita campur penduduk dan pelancong, tidak sampai 20,000 sehari, buat apa hendak guna kereta api laju yang kapasiti mencecah ratusan ribu penumpang sehari.
“Sebab itu lah, kereta api dengan kelajuan mencecah daripada 431 km/h sehingga 603km/h sesuai untuk diguna pada kawasan jarak jauh dengan penduduk yang ramai dan padat. Dan Langkawi bukanlah kawasan yang sesuai. Sebab itu idea ini adalah idea bodoh,” katanya.
Shaiful Hazizy berkata,, sekiranya Muhammad Sanusi serius hendak menangani isu pelancong di Langkawi, beliau perlu merawat punca dan masalah sebenar.
“Sejak bila pelancong menurun sebab tiada kereta api laju? Pelancong kurang sebab kos pelancongan di sana mahal, jadual feri makin berkurang dan tambang makin naik. Selesai isu isu ini dahulu.
“Setidaknya tidaknya, selesai isu air dahulu di Langkawi. Ini lah masalah apabila dapat MB yang jenis populis, sibuk umum projek sebab hendak nampak bagus tapi keperluan rakyat tidak terjaga. Air itu keperluan asas, takkan perkara itu pun kita hendak ajar.
“Saya yakin sahaja projek ini akan sama sahaja dengan projek projek mega yang Sanusi pernah umum. Mana Widad Langkasuka 40 billion, mana pelaburan 2.5 billion KXP, mana litar lumba Sungai Petani. Semua terbelengkalai, nanti alih alih salah kerajaan. Tunggu dan lihat sahaja.
“Sebenarnya kerajaan Negeri Kedah sedang terancam dibawah Menteri Besar Bodoh bergandingan dengan Exco bekas ahli akademik angan-angan Mat Jenin. Kalau tidak dibendung, inilah resepi kehancuran abadi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette