Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri
KUALA LUMPUR – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan,  Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat bidang sukan wajar kekal hanya sebagai sukan dan persaingan dengan pasukan lawan hanya semata-mata dalam gelanggang.

Tambah menteri Kabinet itu, saat melangkah keluar selepas permainan, segala emosi terlebur dan jadilah kita tetap bersaudara.

Justeru, beliau tersentak apabila mendapat berita penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim telah ditimpa musibah ujian yang berat kelmarin.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan, melampau dan tidak beradab dengan menyimbah asid itu tidak patut dibiarkan berulang lagi walau apa pun alasan yang diberikan.

“Sukan wajar kekal hanya sebagai sukan. Persaingan dengan pasukan lawan adalah semata-mata dalam gelanggang. Saat melangkah keluar selepas permainan, segala emosi terlebur dan jadilah kita tetap bersaudara,” tulis di Facebook miliknya hari ini.

Zulkifli turut mengajak seluruh rakyat Malaysia,bersama-sama mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan serta mengirimkan kata-kata semangat buat Faisal.

Katanya, perjuangan pemain Selangor FC untuk terus berbakti mengharumkan nama pasukan Harimau Malaya masih panjang.

“Kepada Saudara Faisal, setiap apa yang berlaku telah ditentukan dalam takdir-Nya. Saya yakin, ada hikmah yang tersembunyi selama kita bersabar, muhasabah dan reda dengan apa yang berlaku, insya-Allah. Saya sayang anda semata-mata kerana Allah,” katanya.

Zulkifli menambah, aksi Faisal masih segar dalam ingatan beliau dan gol menakjubkan yang telah dijaringkan penyerang licik itu  saat menentang pasukan pilihan utama kejohanan Korea Selatan pada edisi Piala Asia Qatar 2023 yang lalu.

“Mungkin tidak keterlaluan saya katakan, kelincahan menggelecek dan ketajaman penyudahnya mengingatkan generasi seusia saya dengan almarhum Datuk Mokhtar Dahari,” katanya. – MalaysiaGazette