DJ Lin berjaya memenangi pengiktirafan sebagai ‘Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia’.

KUALA LUMPUR – Penyampai radio Suria Cinta, DJ Lin sekali lagi melakar sejarah setelah berjaya memenangi pengiktirafan sebagai ‘Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia’ untuk kali keempat berturut turut bagi anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2024 yang berlangsung baru-baru ini.

Meskipun tidak dapat hadir pada majlis penganugerahan itu kerana sedang menunaikan ibadah umrah, DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya sehingga kini.

“Terima kasih kepada keluarga, peminat, rakan media, team Suria FM dan pengurusan Star Media Group Berhad di atas sokongan yang tidak berbelah bagi buat saya sepanjang menjadi penyampai radio sejak tahun 1999 sehingga kini.

“Juga, sekalung penghargaan kepada rakyat Malaysia yang mengundi dan sekali lagi memilih saya sebagai penerima anugerah yang berprestij ini.

“Pengiktirafan ini sememangnya akan menjadi penguat semangat dan inspirasi buat saya untuk terus memberikan komitmen yang padu terhadap jenama Suria dan industri radio Malaysia,” kata DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid dalam satu kenyataan, di sini.

Anugerah ini merupakan hasil dari kajian bebas yang dilakukan oleh agensi penyelidikan pasaran terkemuka, Catalyst Research dengan keputusan yang diterbitkan secara eksklusif dalam majalah Reader’s Digest Malaysia.

Kajian ini melibatkan 2,000 sampel individu dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia bagi menunjukkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama, produk, dan personaliti yang yang paling dipercayai oleh mereka yang mempunyai lebih dari 45 kategori yang berbeza. – MalaysiaGazette

Majlis Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2024 berlangsung berlangsung baru-baru ini.