Dua lelaki masing-masing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua ekor lembu milik seorang peniaga kedai makan, dua minggu lalu.

MELAKA – Dua lelaki masing-masing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua ekor lembu milik seorang peniaga kedai makan, dua minggu lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Zulikhwan Zolhaisam, 21, dan Abdul Rahman Ahmad, 57 yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan niat telah mencuri dua ekor lembu berwarna putih jenis baka Brahman milik Amirul Amin Saharudin, 31, di kandang lembu Permatang Pasir Permai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.30 petang 10 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali atau yang kemudian dikenakan penjara dan denda atau sebat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mereka yang tidak tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah denda rendah dengan alasan tidak berkemampuan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 seorang atau empat bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette