Monday, June 17, 2024
Home Sukan Barcelona pecat Xavi selepas gagal menang trofi

Barcelona pecat Xavi selepas gagal menang trofi

Xavi Hernandez. Foto Sky Sports.

LONDON – Barcelona telah memecat pengendali pasukannya, Xavi Hernandez selepas gergasi Catalan itu gagal memenangi trofi musim ini.

Xavi akan mengendalikan perlawanan terakhir La Liga pasukan hari ini di Sevilla sebelum melepaskan jawatannya itu.

“Presiden Barcelona, Joan Laporta telah memberitahu Xavi Hernandez bahawa tugasnya sebagai jurulatih untuk musim 2024-25 tidak diteruskan,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Bekas jurulatih Bayern Munich dan Jerman, Hansi Flick dijangka menggantikan Xavi.

Pada Januari lalu, Xavi mengumumkan beliau akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini, tetapi selepas beberapa keputusan memberangsangkan, pada April beliau dan presiden Laporta bersetuju jurulatih itu akan kekal bagi kempen berikutnya, dengan kontrak semasanya berakhir pada Jun 2025.

Bagaimanapun, situasi berubah pantas dengan media Sepanyol melaporkan Laporta berang dengan komen Xavi menyatakan sukar buat kelab yang berdepan masalah kewangan itu untuk bersaing dengan Real Madrid atau kelab elit Eropah yang lain.

Flick, 59, tidak melatih sejak Jerman memecatnya pada 2023 selepas beberapa keputusan buruk.

Sebelum ini Flick mengemudi Bayern meraih treble pada 2020, termasuk membelasah Barcelona 8-2 pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Barcelona menjuarai La Liga musim lalu namun gagal mempertahankan kejuaraan itu.

Mereka tersingkir di tangan Paris Saint-Germain pada suku akhir Liga Juara-Juara, dibelasah Real Madrid pada final Piala Super Sepanyol dan tumpas kepada Athletic Bilbao dalam Copa del Rey.

Xavi dilantik pada November 2021 menggantikan Ronald Koeman untuk kembali meletakkan kelab itu di puncak selepas bertahun-tahun bergelut di Eropah susulan kejayaan mereka dalam Liga Juara-Juara 2015.

Sebagai pemain Xavi melakukan 767 penampilan buat kelab Catalunya itu, hanya berada di belakang Lionel Messi, memenangi lapan kejuaraan La Liga dan empat Liga Juara-Juara antara koleksi trofinya. – Agensi