Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming bercakap pada Sidang Media berkenaan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2023 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 28 MEI 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengagihkan peruntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berdepan masalah kewangan dalam masa terdekat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ini bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok yang kritikal dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

“Peruntukkan sedang dilakukan dan kita tidak tunggu. Ada proses langkah penjimatan namun peruntukkan ini akan diberikan berdasarkan keperluan khususnya dalam situasi mendesak.

“Tidak dinafikan juga ada lori-lori PBT ini sudah usang. Kita akan berikan peruntukkan untuk kemudahan awam dengan mengkaji sama ada boleh masukkan dari segi penyelenggaraan dan juga pembelian peralatan.

“Dari segi pengurusan kita akan cari jalan sama ada menerusi Jabatan Landskap Negara, Jabatan Penyelenggaraan ataupun Jabatan Kerajaan Tempatan. Kita harap dari segi peralatan boleh diperbaiki dan diperhebatkan lagi,” katanya pada pemberita.

Nga Kor Ming bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk  M Noor Azman Taib memberikan Sijil dan Pingat Perhidmatan Cemerlang kepada Pegawai Bomba, Syafiq Mohamad di Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2023 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 28 MEI 2024.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Anuegrah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 403 penerima di Majis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2023 warga KPKT, di sini hari ini.

Kor Ming juga memaklumkan PBT khususnya majlis daerah antara yang mengalami kekangan kewangan berikutan kos penyelenggaraan setiap pokok agak tinggi.

“PBT ini mempunyai tiga peringkat iaitu bandar raya, perbandaran dan majlis daerah namun di bahagian daerah khususnya kawasan pendalaman mengalami kekakangan kewangan.

“Bukan itu sahaja, kepakaran doktor pokok atau arborist juga tidak menyeluruh. Bagaimanapun, kita sedang dalam proses tambah baik.

“Seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah ada aborist sendiri.

“Jadi amat penting untuk kita merancakkan lagi perkhidmatan ini bagi tambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran,” jelasnya.

Tambah beliau, pihakya telah menggesa setiap petugas landskap PBT perlu mengikuti kursus arborist anjuran Jabatan Landskap Negara bagi memastikan matlamat berkenaan dapat dicapai.

Semalam, sebanyak tujuh buah kereta di kawasan parkir di Taman Kinrara, Puchong, Selangor rosak dihempap pokok susulan hujan lebat dan ribut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.24 petang.

Bagaimanapun, dalam insiden tersebut tidak melibatkan mangsa. – MalaysiaGazette