Pusat Tuisyen Cikgu Saarani Mohamad MB Perak
Gambar fail. Ihsan PEJABAT MB PERAK

IPOH – Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang berjaya meningkatkan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 2020 hingga 2023 wajar diteruskan serta diperluaskan lagi skop pelaksanaannya.

Malah cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu, dianggap sebagai pemikiran di luar kotak yang memberi tumpuan kepada elemen mendorong pelajar mengikuti kelas tambahan dengan menyediakan makanan tengah hari kepada mereka.

Bercakap kepada MG Perak, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Mohd Syaubari Othman berkata, kebiasaannya kelas tambahan bagi latihan tubi atau bengkel kemahiran menjadi pilihan sebagai persediaan calon-calon periksaan awam seperti SPM.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyertaan yang diterima daripada pelajar apabila kelas tambahan diadakan pada sebelah petang kurang memberangsangkan kerana pelajar terpaksa pulang atau tiada wang untuk membeli makanan tengah hari.

“Pendekatan yang diambil Menteri Besar Perak dengan menyediakan makanan tengah hari untuk tuisyen merupakan pendekatan yang amat baik kerana kadang-kadang isu yang berlaku bukanlah dari segi kekurangan atau ketidak cemerlangan akademik dari pelajar.

“Tetapi elemen-elemen luar sebagai sokongan yang membantu kejayaan pelajar itu juga perlu dibangunkan seperti yang dilaksanakan oleh program TCS yang memberi makan tengah hari.

Dr Mohd Syaubari Othman

“Ini satu pemikiran diluar kotak dan elemen ini membantu pelajar itu untu meneruskan pengajian tuisyen di sebelah petang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Syaubari berkata, satu penyelidikan perlu dijalankan Kerajaan Negeri bagi menambahbaik TCS dengan memberi tumpuan kepada hala tuju program tersebut bagi tempoh jangka masa panjang.

“Kalau sekarang program TCS ini menumpukan kepada peperiksaan mungkin kita boleh buat penyelidikan seperti mengenal pasti punca kelemahan pelajar dalam pelajaran supaya kita boleh ambil tindakan atau menambahbaik ia.

“Selain itu, isu pelajar tidak hadir peperiksaan SPM juga boleh dimasukan dalam penyelidikan bagi menjadikan program TCS dapat mengelak pelajar dari tidak hadir peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Datuk Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, usaha seperti program TCS wajar diberi pujian dan perlu dicontohi seluruh negara.

Beliau berkata, bimbingan seperti program TCS amat membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar serta merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar.

“Jadi saya amatlah mengalu-alukan serta memuji usaha Menteri Besar Perak melalui program TCS dalam menolong pelajar untuk meningkatkan tahap akademik mereka.

“Selain itu juga, pada masa yang sama ia turut menaikkan tahap keyakinan pelajar-pelajar tersebut, khususnya dari golongan B40, supaya berjaya dalam hidup, untuk diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat keliling, agama serta negara,” katanya.

Tambah beliau, USAS juga turut memiliki inisiatif melahirkan pelajar cemerlang melalui USAS Bridging Center dalam meyelamatkan pelajar-pelajar tahfiz yang tidak mempunyai pendidikan akademik yang minima.

“Tempoh program ini selama 10 bulan sahaja tapi kadar pencapaian pelajar adalah hampir 100 peratus lulus,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata, berkata, program TCS telah memberi impak dalam peningkatan pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 di negeri ini..

Beliau berkata, peruntukan yang disalurkan melalui intensif TCS itu juga telah merapatkan jurang pencapaian calon SPM antara bandar dan luar bandar yang merekodkan 0.01 mata.

“TCS memberi peruntukan sebanyak RM2.67 juta dan alhamdulillah kita dapat meningkatkan prestasi calon serta jurang pencapaian calon antara luar bandar dan bandar yang kita lihat sangat baik.

“Melalui peruntukan TCS murid-murid ini diberikan bantuan makanan tengah hari percuma selama 20 hari terakhir”, katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

TCS bantu lonjak prestasi cemerlang SPM 2023

Dorong peningkatan keputusan SPM, TCS diteruskan – Saarani

TCS bantu lonjak prestasi cemerlang SPM 2023