Pelancaran novel Abnormal Buas diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Filem Abnormal Buas yang bakal ditayangkan pada 20 Jun ini memulakan sesi pengenalannya menerusi pelancaran novel adaptasi daripada filem itu.

Novel yang menggunakan judul sama itu ditulis oleh Shahriman Wahap, Nadzri Kamsin dan Syamzaly Musa serta diterbitkan oleh Karya Publika Sdn Bhd.

Penerbit filem itu Aeril Zafrel berkata, penerbitan novel ini membolehkan khalayak untuk mengenali dan memahami cerita Abnormal Buas dengan lebih mendalam lagi.

Katanya yang juga pelakon filem itu, novel tersebut diterbitkan disebabkan cerita yang begitu kaya dan mendalam sehingga tidak dapat dimuatkan sepenuhnya dalam format filem.

Jelas suami kepada pelakon Wawa Zainal itu, dengan menerbitkan novel terlebih dahulu, pembaca dapat menyelami perjalanan cerita secara lebih terperinci dan komprehensif.

“Malah, walaupun tanpa mengikuti keseluruhan trilogi, mereka yang menonton filem ini pun akan tetap dapat memahami alur dan makna ceritanya dengan baik. Ini menunjukkan betapa hebat dan lengkapnya penceritaan dalam novel ini.

“Sebenarnya, menggambarkan keseluruhan cerita dari novel dalam bentuk filem pun mungkin tidak mencukupi. Novel ini seolah-olah menjadi tambahan yang memperkaya pemahaman penonton terhadap dunia cerita yang begitu mendalam.

“Bagi mereka yang membaca novel ini, pasti akan dapat menyelami dan memahami cerita ini dengan lebih menyeluruh dan bermakna,” katanya pada pelancaran novel itu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Novel Abnormal Buas yang diadaptasi daripada filem tajuk sama.

Menurut Aeril, filem itu mengisahkan manusia yang bersifat ‘kebinatangan’ dengan diselitkan eleman fiksyen namun tidak berlatarbelakangkan Malaysia sebaliknya ia berkisarkan di negara yang berbeza.

“Bandar dan watak yang diketengahkan juga bukan dari Malaysia, memandangkan cerita ini mengandungi unsur-unsur yang mungkin dikenakan tapisan sekiranya ia berlatar di negara kita.

“Oleh itu, untuk memberikan kebebasan kreatif, kami mencipta satu negara yang berbeza sebagai latar belakang. Apa yang menarik mengenai novel dan cerita ini ialah ia agak unik dan mempunyai banyak unsur yang mendebarkan serta membangkitkan rasa teruja,” katanya.

Selain Aeril dan Wawa, filem terbitan Respected Citizen Production ini menampilkan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Nabila Huda Johan Asari, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosemila, Kodi Rasheed, Ahmad Yatim, Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Jalil Hamid dan ramai lagi.

Filem Abnornal Buas akan tayang di pawagam bermula 20 Jun ini.

Novel menceritakan, Dahliya yang mahu melupakan sejarah hitamnya dan mahu memulakan hidup baru bersama anak tunggal kesayangannya Izo. Namun detik hitam muncul lagi dalam hidup Dahliya apabila rumah mereka dimasuki oleh pasangan penyamun, Bullet dan Speed.

Dahliya dan Izo berjaya mengusir mereka, namun sewaktu dia membuat laporan di balai polis, ASP Musa Grey bertindak memperkosa Dahliya di depan Izo.

Dahliya dan Izo didatangi oleh tiga lelaki yang mewakili E-1, agensi rahsia yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan politik di Kota Lemuriya.

Mereka berdua diangkat menjadi pembunuh upahan pasukan E-1 yang berpengkalan rahsia di hospital mental Pusat Aman Bahagia.

Selepas 20 tahun, dalam satu pertemuan yang tidak dijangka, Izo bertemu semula dengan ASP Musa Grey, Bullet dan Speed di Harmoni Vila dan dia kali ini sudah bersedia dan tragedi berdarah bakal berlaku di vila itu.

Ketika ini, novel Abnormal Buas dijual pada harga RM33.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM35.90 (Sabah dan Sarawak). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast