Saifudin Nasution Ismail bersama Wang Xiaohong sempena lawatan kerja sehingga 10 Jun 2024 ke Beijing. Foto Kredit Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia dan China telah memeterai perjanjian untuk memperkukuhkan kerjasama kedua-dua negara itu dalam sektor keselamatan secara amnya untuk tempoh 10 tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang kini berada dalam lawatan kerja ke negara republik itu sedang menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia- China itu di Beijing.

Beliau Bersama Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia – China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5) yang diadakan semalam bersempena lawatan kerjanya sehingga 10 Jun ini.

Saifuddin Nasution menyifatkan mesyuarat tahunan ini merupakan manifestasi hubungan akrab Malaysia dengan  China dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam.

“JWG Ke-5 merupakan mekanisme perbincangan di bawah payungan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia Dengan Republik Rakyat China yang ditandatangani pada 2012.

“Keakraban hubungan kedua-dua negara mengaspirasikan hasil mesyuarat yang monumental ke arah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam antara kedua-dua negara yang lebih terjamin serta mampu memberikan limpahan kesan positif di peringkat serantau dan dunia.

“JWG Ke-5 berhasil memuafakatkan keputusan yang berimpak tinggi, antaranya melanjutkan perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia dengan China yang berkuat kuasa sehingga 2034,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, perjanjian perlanjutan yang dimeterai Malaysia dan China itu merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah ke atas alam sekitar.

Justeru katanya, kedua-dua negara turut berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN + China + Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN.

Menurut Saifuddin lagi, dalam mesyuarat itu Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan bukan hanya kepada kedua-dua negara malah turut akan memanfaatkan negara serantau dan global;

“Antaranya kesepakatan untuk bersegera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi.

“Mesyuarat JWG Ke-5 turut memperaku kerjasama erat sedia ada antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih intensif selaras dengan status hubungan komprehensif dan strategik Malaysia – China.

“Hal ini termasuklah perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai,” ujarnya lagi.

Pada akhir Mesyuarat JWG Ke-5, tegasnya kedua-dua Menteri mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan akrab kedua-dua negara dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam di kedua-dua negara, serantau dan global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast