Jawatankuasa Bakat ST MOSTI

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengalami kekurangan 600 hingga 1,300 orang bakat jurutera dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) setahun mengambil kira jumlah penghasilan purata 6,600 siswazah dengan kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas (jurutera) setahun.

Pengiraan ini dengan andaian jumlah penawaran melibatkan 0% kadar pengangguran, 100% graduan E&E menceburi industri dan tiada penurunan trend graduan dalam bidang tersebut.

Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, defisit ini dijangka lebih besar mengambil kira keperluan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi yang disasarkan dalam Pelan Strategik Semikonduktor Nasional (NSS) melibatkan tiga fasa keseluruhan pelaksanaan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dapatan ini hasil daripada Analisa Dinamik Permintaan oleh MOSTI bagi meneliti data permintaan dan penawaran dalam bidang E&E.

Kajian oleh Jawatankuasa Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dengan tumpuan kepada keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi (jurutera) melibatkan graduan dalam negara dengan kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas.

Mengambil kira trend kadar peningkatan peluang pekerjaan, dengan anggaran peningkatan permintaan pekerja berkemahiran tinggi (15% daripada jumlah keseluruhan jawatan adalah jurutera), negara dilihat memerlukan sekurang-kurangnya 7,200 sehingga 7,900 jurutera bagi sektor E&E setahun, menurut dapatan analisa tersebut.

Jumlah ini mengambil kira kadar peningkatan kekosongan dan pewujudan jawatan baharu berkemahiran tinggi sektor E&E adalah pada kadar 2% hingga 11% dari tahun 2018 hingga 2023.

Data graduan dalam negara yang dianalisa berasaskan kepada maklumat Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) dari tahun 2018 sehingga
2022 dalam bidang pengajian kejuruteraan dengan pengkhususan kepada bidang perincian berkaitan E&E menunjukkan negara telah
berjaya melahirkan purata sebanyak 24,700 graduan E&E setahun yang melibatkan pelbagai peringkat pengajian/pendidikan.

Berdasarkan klasifikasi bidang perincian dengan pengkhususan program pengajian berkaitan sektor E&E seperti elektrik, elektronik,
mekatronik, kejuruteraan komputer, mikroelektronik dan lain-lain yang berkaitan, dianggarkan lebih kurang 6,600 graduan di peringkat ijazah
sarjana muda dan ke atas telah dihasilkan oleh negara dalam setahun.

Jumlah ini bagaimanapun tidak mengambil kira purata graduan di peringkat diploma dalam bidang E&E yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat selanjutnya dalam pelbagai bidang kejuruteraan lain dengan nilai purata 3,000 graduan setahun.

MOSTI berkata, data dan statistik Sumber Guna Tenaga yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dari tahun 2018 hingga 2023 dan potensi peluang pekerjaan hasil pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung industri (DDI) dalam negara bagi tempoh 2021 hingga 2023 oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan trend peningkatan permintaan guna tenaga yang diperlukan oleh negara bagi sektor industri E&E ini.

Data dan statistik peluang pekerjaan tenaga mahir sektor E&E bagi tempoh 2018 hingga 2023, menunjukkan purata sebanyak 8,500 kekosongan dan 2,040 pewujudan jawatan baharu dengan peringkat pengajian diploma dan ke atas setahun.

Peluang pekerjaan sektor E&E dilihat masih tertumpu di peringkat operator mesin dan loji dan pemasang dengan jumlah peratusan tertinggi sebanyak 53.24%.

Dapatan ini adalah selari dengan jumlah tenaga kerja bagi sektor E&E dalam tempoh 2018 sehingga 2023 yang masih didominasi oleh pekerjaan di peringkat separuh mahir dengan peratusan tertinggi sebanyak 74.15% diikuti peringkat mahir dengan 22.72% dan berkemahiran rendah dengan 3.13%.

Defisit bakat sektor E&E juga perlu mengambil kira isu penghijrahan individu berkemahiran tinggi ke sektor lain seperti industri minyak dan gas dan telekomuniasi serta fenomena brain drain graduan ke luar negara dengan penawaran gaji yang lebih tinggi dan kompetitif.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk menyediakan kumpulan bakat dalam sektor E&E dengan kelayakan minimum ijazah sarjana muda (jurutera) untuk negara dapat bergerak ke landskap baharu industri pembuatan berteknologi tinggi dengan syarat terdapat pewujudan lebih banyak permintaan pekerjaan bernilai tinggi berdasarkan pelaburan masuk ke dalam negara termasuk perluasan pelaburan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jawatankuasa Bakat STI turut melihat data trend penurunan enrolmen murid aliran STEM daripada aliran Sains Tulen (Pakej STEM A) yang berpotensi untuk menyediakan kumpulan jurutera berkemahiran tinggi pada masa hadapan perlu diberi perhatian serius.

MOSTI menambah, peratus murid aliran Sains Tulen kini pada kadar 15.2% dan kemerosotan prestasi pelajar dalam aliran tersebut dengan mata pelajaran yang melibatkan subjek penting seperti matematik tambahan untuk ke peringkat pengajian tinggi dalam jurusan kejuruteraan dan cabang jurusan berkaitan perlu diambil tindakan intervensi segera.

Katanya, membenarkan graduan asing dari institusi pendidikan negara bekerja dalam sektor berteknologi tinggi mungkin dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian jangka pendek tetapi bercanggah dengan hasrat dan tujuan pelaburan masuk yang sepatutnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutamanya dari kalangan graduan tempatan yang berkelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas.

“Mengoptimumkan potensi graduan terlatih tempatan hendaklah diberi keutamaan untuk manfaat jangka panjang.

Ekosistem pasaran kerja dan keupayaan membawa pasaran domestik dan asing serta keupayaan menukar pola ekosistem pekerjaan memfokus kepada penggunaan tenaga mahir hendaklah dilaksanakan dengan serius jika visi untuk mencapai negara berteknologi tinggi hendak dicapai menjelang tahun 2030,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast