Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara Malaysia, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan menjalankan siasatan rapi ke atas mana-mana pihak termasuk ahli sukan yang menjadi mangsa penjenayah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri mengakui terdapat insiden yang menimbulkan keresahan rakyat kerana lambat terbongkar menjelaskan, hukuman yang dikenakan kepada pelaku perlu berdasarkan fakta dan bukannya persepsi.

Kata beliau, ini kerana siasatan yang terburu-buru akan memberi ketidakadilan sama ada mangsa atau individu yang dituduh.

“Saya ingin beri jaminan insiden yang menimbul keresahan di beberapa kalangan termasuk saya dan tentu saya tidak mahu umpamanya menjadi PM (Perdana Menteri) tetapi melindung penjenayah atau perasuah.

“Cuma kita harus pastikan tindakan itu profesional dan adil serta tidak menghukum sebelum ada fakta dan melihat kepada sudut undang-undang. Ini saya hendak singgung secara langsung walaupun tidak terkait dengan acara Anugerah Sukan Negara.

“Tetapi ada yang jadi mangsa juga adalah ahli sukan yang digiat dalam olahraga. Jadi jaminan ini penting supaya ada perasaan semua rakyat baik ahli sukan atau penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara di Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hari ini, penyerang Selangor FC, Faisal Halim yang disimbah asid pada awal bulan lalu muncul pertama kali di khalayak menerusi satu sidang media.

Berikutan itu, orang ramai mempersoalkan tindakan ke atas pelaku atau perancang yang masih bebas biarpun kejadian tersebut berlaku pada 5 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, negara ini perlu diselamatkan dan tindakan agresif polis juga perlu dipupuk dalam bidang sukan seperti mana pihak berkuasa lain yang membanteras rasuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast