Pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim membuat kemunculan kali pertama selepas menjadi mangsa simbahan asid pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

SHAH ALAM – Penyerang Selangor FC Faisal Halim menjelaskan tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana pihak apatah lagi memiliki musuh.

Malah tonggak Harimau Malaya itu berkata, dia dikenali dengan watak ceria kerana tidak pernah membezakan mana-mana individu di sekelilingnya selama ini.

“Watak saya semua tahu saya tidak pernah sombong dengan semua orang walaupun di atas atau bawah saya.

“Saya layan dengan apa yang saya mampu. Saya tidak pernah buat masalah dengan orang, jadi selepas ini kalau perlu, saya akan berubah jadi sombong kalau itu untuk kebaikan diri saya,” katanya.

Faisal berkata demikian dalam sidang media bersama pengurusan Selangor FC di sini hari ini.

Beliau muncul pertama kali di khalayak selepas kes dirinya disimbah asid awal bulan lalu dan kini sudah dibenarkan keluar hospital.

Mengulas lanjut, Faisal, 26, berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi melampau terhadap insiden yang masih dalam siasatan.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan pemain itu dan yakin Faisal akan kembali pulih dan mewakili pasukan.

Sementara itu, Faisal kelihatan sugul malah menitiskan air mata beberapa kali ketika sidang media apabila mengenangkan insiden yang menimpanya dan keluarga yang menjadi kekuatannya pulih dengan cepat.

Faisal hadir dengan kawalan ketat pasukan keselamatan manakala pihak media hanya dibenarkan meninggalkan lokasi selepas pemain itu bergerak pulang.

Awal Mei lalu, Faisal mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.

Namun proses pemulihan Faisal berjalan lebih cepat daripada jangkaan dan dibenarkan keluar dari hospital sejak 25 Mei lepas. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Biar hilang pendapatan puluhan ribu, asal keluarga saya selamat – Faisal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast