SUBANG JAYA – Sebanyak 14,417 kesalahan jalan raya direkodkan sepanjang tempoh 10 hari Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 yang dilaksanakan di Selangor.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 57,491 kenderaan bagi tempoh bermula pada 10 hingga 19 Jun lalu.
Kata beliau, pihaknya mengambil tindakan ke atas 13,417 kenderaan dan sebanyak 14,417 notis dikeluarkan.
“Daripada jumlah itu, notis saman paling banyak direkodkan iaitu 11,118 kes disusuli notis larangan penggunaan kenderaan (1,338 kes), notis arah periksa kenderaan (1,407 kes) dan notis sita kenderaan membabitkan 544 kes.
“Sepanjang tempoh itu, kesalahan paling banyak yang dicatatkan JPJ membabitkan isu teknikal iaitu sebanyak 4,697 kes, disusuli kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) (3,022 kes), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,320 kes), tiada perlindungan insurans (1,893 kes) dan selebihnya lain-lain kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelaksanaan Op HRAA di Plaza Tol Sunway PJS 5, di sini, pada malam tadi.
Sementara itu, Ahmad Kamarunzaman berkata, OP HRAA 2024 bertujuane mastikan penguatkuasaan dilaksana berimpak tinggi bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.
“Pelaksanaan operasi dibuat menerusi sekatan jalan raya, kaedah penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa logo selain penyamaran sebagai penumpang bas.
“Sembilan kesalahan utama ditekankan pada operasi kali ini iaitu tidak patuh had laju, tidak patuh isyarat lampu merah, memotong di garisan kembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak pakai tali pinggang atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan,” ujarnya.a – MalaysiaGazette