Onn Hafiz (tengah) bersama-sama perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Kluang, hari ini.

KLUANG – Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan wakil rakyat parti itu di negeri ini supaya tidak sombong dengan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, mereka perlu ingat serta mengambil iktibar semasa UMNO hilang kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan menjadi pembangkang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam mahu mereka mengambil pengajaran daripada kejatuhan itu yang pertama kali berlaku kepada parti.

Onn Hafiz Ghazi menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), di sini, hari ini.

“Pada ketika itu UMNO seperti kehilangan maruah malah wakil rakyat yang mewakili parti keramat orang Melayu ini dihina dan dicerca dengan pelbagai tanggapan.

“Oleh yang demikian, selepas diberikan kepercayaan semula oleh rakyat negeri ini, sebagai wakil rakyat jangan sesekali alpa untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), di sini, hari ini.

Selepas kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, berlaku peralihan kuasa di peringkat Pusat dan negeri sekali gus melihatkan warna-warni politik dengan beberapa parti komponen BN seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meninggalkan gabungan politik itu.

Kemudian berlaku kemelut kepimpinan dalam UMNO dan terdapat beberapa pemimpin kanan parti berkenaan bertindak keluar parti menjadi ahli Parlimen bebas dan ada dalam kalangan mereka menyertai parti kerajaan.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, wakil rakyat UMNO tidak sewajarnya bermegah-megah kerana jawatan itu adalah amanah daripada pengundi yang memilih mereka.

“Dah jadi wakil rakyat, jangan angkuh dan sombong, ambil cakna setiap apa yang disuarakan oleh rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, ahli-ahli UMNO juga diingatkan untuk tidak lari daripada asas perjuangan parti yang dilahirkan di istana Johor dengan tujuan utama untuk menyatukan orang-orang Melayu.

Menteri Besar Johor itu mengajak semua ahli dan pemimpin UMNO untuk merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan untuk mengangkat semula martabat parti.

“Jadikan lah apa yang berlaku sebelum ini sebagai sempadan untuk kita tidak mengulangi kesilapan lama sedangkan rakyat terus memberikan harapan kepada kita menjadi pelindung mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast