Acara amal AEON Charity Run 2024 yang diadakan di Anjung Floria di sini hari ini turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menerima sumbangan RM1 juta itu.

KUALA LUMPUR  – Yayasan AEON Malaysia menyumbang RM1 juta kepada 10 buah hospital menerusi kutipan acara larian amal AEON Charity Run 2024 bagi membantu golongan B40 yang memerlukan bantuan dari segi kos perubatan atau rawatan lebih sempurna.

Presidennya, Datuk Iskandar Sarudin berkata, sumbangan itu juga bagi memastikan golongan itu menikmati rawatan yang berkualiti  tanpa perlu bimbang tentang beban kos rawatan dan ubat-ubatan.

Menurut beliau, Yayasan AEON Malaysia telah berjaya menyumbangkan sejumlah lebih RM22 juta kepada mereka yang memerlukan.

“Tahun ini, Yayasan AEON Malaysia  meraikan ulang tahun yang ke-20 dan telah sumbangan dan bantuan yang berterusan daripada orang ramai, pelanggan dan setiap rakan perniagaan.

“Kami juga sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup sihat melalui program-program sukan dan riadah dan ini merupakan salah satu kesan positif hasil daripada usaha kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khasnya untuk melahirkan masyarakat yang aktif dan sihat.

“Justeru itu, kami ingin sama-sama bergerak untuk mencapai matlamat ini dan AEON Charity Run pada hari ini bukan hanya sekadar aktiviti larian, tetapi ia membawa makna yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada acara amal AEON Charity Run 2024 yang diadakan di Anjung Floria yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menerima sumbangan RM1 juta itu, di sini hari ini.

Hannah Yeoh.

Penganjuran AEON Charity Run 2024 diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan AEON Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2004 oleh AEON yang merupakan peruncit pertama di Malaysia yang memulakan yayasan amalnya sendiri.

Sementara itu, RM1 juta yang berjaya dikumpul disalurkan ke program AEON KASiH iaitu  sebuah program oleh Yayasan AEON Malaysia akan disalurkan ke hospital-hospital yang dikenal pasti iaitu Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur; Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); HUKM Cheras; Hospital Pulau Pinang; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Hospital lain adalah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan; Hospital Melaka; Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan Hospital Umum, Kuching Sarawak.

Sebelum itu, Iskandar juga telah melepaskan lebih 2,000 peserta yang mengambil bahagian dalam kategori fun-run sejauh lima kilometer (km) dan 10km yang berlangsung pada awal pagi.

Dalam pada itu, Hannah berkata, acara hari ini bukan sahaja selaras dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat.

Pada masa sama kata beliau, peserta turut berlari sambil beramal dan menyumbang kepada inisiatif untuk rakyat yang memerlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast