WASHINGTON- Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar meminta Israel dan Hamas memulakan semula rundingan gencatan senjata dan pembebasan tahanan.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga negara itu berkata, mereka telah menyediakan rangka kerja perjanjian yang hanya memerlukan butiran pelaksanaan dimuktamadkan.
Katanya, ketiga-tiga negara itu mengundang Israel dan Hamas untuk mengadakan semula perbincangan pada 15 Ogos ini bagi menutup semua jurang dan memulakan pelaksanaan perjanjian tanpa ada sebarang penangguhan lagi.
“Sebagai orang tengah, sekiranya perlu, kami telah menyediakan cadangan akhir yang diharapkan dapat memenuhi jangkaan semua pihak bagi menyelesaikan isu-isu ini,” kata kenyataan yang ditandatangani Presiden AS, Joe Biden; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Menurut Israel, ia akan menghantar para perunding ke rundingan yang dijadualkan di Doha atau Kaherah, 15 Ogos.
Setakat ini, Hamas masih belum memberi sebarang maklum balas.
Gesaan diplomatik terbaharu dilihat sebagai cubaan untuk menghentikan ketegangan yang tidak terkawal selepas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh minggu lepas.- Agensi
ARTIKEL BERKAITAN
Sekolah dibom, lebih 100 rakyat Palestin terbunuh ketika solat subuh