Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ), Muhammed Farhan Basheer

JOHOR BAHRU – Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak kerajaan membatalkan cadangan penggabungan Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank.

Timbalan Presiden PPPMM, Muhammed Farhan Basheer berkata, ini kerana tindakan itu akan melenyapkan platform pembiayaan sekali gus membantutkan pertumbuhan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau yang juga Ahli Majlis Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, desakan itu berasaskan kepada pengiktirafan kerajaan dan industri terhadap PMKS yang diakui antara nadi ekonomi negara terutama melibatkan sumbangan sektor.

“Sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara berjumlah RM613.1 bilion pada 2023 selain nilai eksport dan peluang pekerjaan disediakan kepada rakyat Malaysia.

“Ketika mana ketiga-tiga bank tersebut ketika ini menyediakan pembiayaan kepada pelbagaai kluster perniagaan yang berbeza, PPPMM bimbang bank baharu tidak lagi fokus untuk memayungi kesemua kluster tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata Muhammed Farhan, pihaknya amat bimbang penggabungan itu akan menghapuskan mandat dan objektif ketiga-tiga bank itu yang memberi fokus terhadap pembiayaan kredit serta pembangunan PMKS.

Jelasnya, penubuhan bank baharu hasil gabungan tersebut nanti kemungkinan besar lebih berorientasikan keuntungan dengan hanya mengutamakan pembiayaan bagi perniagaan atau projek besar.

Dasar dan senario itu katanya, boleh membantutkan operasi sekali gus prestasi serta sumbangan PMKS terhadap ekonomi negara malah sektor tersebut terdedah kepada kemungkinan gulung tikar kerana sukar mendapatkan pembiayaan kredit.

Daripada perspektif korporat pula katanya, PPPMM mengakui penggabungan tersebut antara lain akan menyelamatkan sejumlah wang kerajaan dan meningkatkan keuntungan selain menampilkan sebuah bank lebih kukuh.

Namun ujarnya, daripada sudut lain, PPPMM bimbang bank baharu mungkin mengabaikan nasib PMKS sehingga mereka kehilangan platform untuk mendapatkan pembiayaan kredit yang sebahagiannya lengkap dengan pakej latihan dan bimbingan perniagaan.

“Kesannya, ini akan membantutkan perkembangan PMKS negara yang ketika ini sedang giat melalui peralihan dan pertumbuhan ke tahap lebih tinggi.

“Kami juga ingin mempersoalkan sama ada bank baharu yang dicadangkan itu akan membantu menyelamatkan PMKS bermasalah atau mempunyai rekod kurang baik yang mana peranan itu selama ini dimainkan Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank,” katanya.

Contohnya kata beliau, PPPMM amat berbangga dengan prestasi SME Bank yang telah membantu kira-kira 25,000 syarikat PMKS dengan meluluskan pembiayaan mencecah RM45 bilion serta melatih dan membimbing lebih 80,000 usahawan setakat ini.

Beliau berpendapat, seterusnya langkah penggabungan ketiga-tiga bank itu pasti melibatkan penyelarasan jawatan dan tugas sehingga sebahagian kakitangan terpaksa diberhentikan sehingga memberi kesan negatif terhadap sosioekonomi untuk tempoh jangka panjang walaupun mereka diberi pampasan.

PPPMM katanya, turut menyokong ketegasan DPMM yang mahu kerajaan mengkaji semula cadangan penggabungan Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank kerana kesan negatif terhadap syarikat PMKS bumiputera serta komuniti perniagaan Melayu secara keseluruhan di negara ini.

Justeru, berdasarkan rasional yang kritikal dan kesan negatif terhadap PMKS, ekonomi negara serta sosioekonomi kakitangan yang diberhentikan maka PPPMM memohon kerajaan membatalkan cadangan penggabungan tersebut.

“Sebaliknya ketiga-tiga bank itu perlu diperkasakan lagi termasuk menyalurkan peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan Negara 2025 demi memacu PMKS untuk terus unggul sebagai nadi sosioekonomi negara,” katanya . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast