Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa di lokasi kejadian tanah mendap di Masjid India, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang tertimbus pada kedalaman lapan meter di depan Masjid India akan diteruskan sehingga mangsa dapat ditemui semula.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa bagaimanapun berkata, pasukan penyelamat menghadapi cabaran dalam mencari mangsa kerana terdapat aliran air deras bawah tanah yang menyukarkan kerja mereka.

“Di dalam sana, ada aliran air yang deras sampai hujung sana. Tindakan (pencarian) kita perlu ikut peringkat kerana kawasan ini ada pelan Indah Water Konsortium semua.

“Sekiranya penutupan saliran air bawah tanah dibuat dikhuatiri keadaan lebih buruk boleh berlaku di kawasan sekitarnya.

“Saya dimaklumkan kalau penutupan air dibuat, mungkin akan berlaku banjir, jadi kita buat strategi mengikut nasihat bomba,” katanya selepas melawat ke lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau ditemani Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman telah diberi taklimat mengenai kejadian tersebut serta proses pencarian setakat ini.

Dalam perkembangan sama, Rusdi juga memaklumkan kejadian tanah mendap pernah berlaku sebelum ini di kawasan sama.

“Saya difahamkan tempat ini pernah mendap sekali dan betul-betul di tempat yang kejadian ini dan telah pun dibaiki masa lalu,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya mengharapkan pasukan SAR boleh menemui mangsa sebelum malam ini dan mendoakan semoga mangsa masih hidup.

Terdahulu,  Sulizmie Affendy berkata, semasa kejadian kira-kira 8.30 pagi tadi, mangsa berusia 48 tahun sedang berjalan di sekitar lokasi sebelum mendapan tanah itu berlaku dan mangsa tertimbus pada kedalaman lapan meter.

Satu rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh dari lokasi kejadian turut menunjukkan mangsa yang tertimbus selepas sampai di kerusi bongkah konkrit yang jatuh dalam mendapan tanah.

Pasukan penyelamat sedang menggunakan jengkaut besar untuk menggali tanah lebih luas di lokasi mendap bagi memudahkan kerja pencarian mangsa walaupun dilanda hujan ketika ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast