KUALA LUMPUR – Mangsa tertimbus dalam mendapan tanah di Masjid India hari ini dikenal pasti sebagai wanita warga India berusia 48 tahun dilaporkan sudah berada selama dua bulan di negara ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa bersama beberapa ahli keluarganya datang ke sini untuk melancong dan sepatutnya dijadualkan pulang ke India Ahad ini.
“Difahamkan esok hari terakhir dia di Malaysia dan ada saksi tengok (mangsa terjatuh) selepas itu tak nampak sebarang pergerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat lokasi kejadian untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai misi pencarian mangsa di sini hari ini.
Selain itu polis telah memaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi India agar tempoh visa mangsa dan kelaurganya dilanjutkan sehingga segala urusan berkaitan kejadian dan penemuan mangsa selesai sepenuhnya.
“Kita sudah minta pihak berkaitan melanjutkan visa mereka ini (ahli keluarga) sebab kita tak mahu mereka balik sekarang. Mereka perlu ada sini sehingga segala proses ini selesai,” katanya.
Buat masa ini sebahagian laluan di situ ditutup sementara kerja-kerja pencarian mangsa masih berjalan.
Namun penutupan sepenuhnya kawasan tersebut hanya akan dipertimbangkan bergantung kepada nasihat dan pendapat bomba serta pihak berkaitan.
“Kita tengok nasihat pakar dan bomba jika perlu tutup sepenuhnya atau tidak namun kita tidak akan kompromi dalam soal keselamatan pengunjung,” ujarnya.
Rusdi turut menjelaskan ahli keluarga mangsa yang ditemuinya dilihat masih terkejut dan sedih dengan kejadian tersebut dan meminta semua pihak tidak mengganggu mereka.
“Ada ahli keluarga mangsa saya jumpa mereka dilihat terganggu ekoran insiden ini. Bagi mereka cool down dan jangan ganggu perasaan mereka.
“Sebarang perkembangan terbaharu dalam pencarian mangsa kita akan memaklumkan kepada media dari semasa ke semasa nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Wanita warga India tertimbus pada kedalaman 10 meter depan Masjid India