Lelaki berbaju hijau dipercayai suami mangsa wanita warga India yang tertimbus dalam mendapan tanah di Masjid India.

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga wanita warga India yang tertimbus dalam mendapan tanah di hadapan Masjid India pagi tadi memberitahu mangsa berjalan kaki bersama seorang lagi wanita sebelum terjerlus ke dalam tanah secara tiba- tiba.

“Dia (mangsa) sempat menjerit angkat tangan dan meminta tolong tarik keluar selepas terjatuh sebelum senyap tidak lama kemudian,” katanya.

Suami mangsa yang berusia 49 tahun dikatakan masih sukar untuk menerima nasib yang menimpa isterinya.

Lelaki berkenaan yang masih trauma dan tertekan itu memilih untuk tidak berinteraksi lanjut mengenai insiden yang menimpa isterinya.

Sebuah jengkaut digunakan untuk mengorek lubang dalam usaha mengesan seorang wanita yang dikatakan tertimbus di lokasi kejadian.

Setakat jam 3 petang, sudah tujuh jam anggota bomba dan DBKL bersama agensi penyelamat lain meneruskan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Sebuah jengkaut DBKL sedang mengorek tanah di tempat mendap untuk mengesan mangsa selepas carian secara manual gagal menemukan wanita tersebut.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dalam sidang media di lokasi kejadian berkata, pihaknya masih dalam proses mengumpul maklumat lengkap kejadian dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.

“Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana mangsa masih dicari lagi.

Menurutnya, setakat ini kawasan itu masih dianggap selamat bagaimanapun perbincangan lanjut dibuat bagi mempertimbangkan jika ada keperluan untuk menutup kawasan itu sepenuhnya. – MalaysiaGazette