Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tiba untuk melawat tapak operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa warga India yang terjerlus akibat mendapan tanah di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melaksanakan pelbagai usaha menjejaki mangsa tanah jerlus di Masjid India di sini sejak Jumaat lalu.

Terbaharu pasukan penyelamat menggunakan botol untuk menguji dan membaca tempoh masa objek itu sampai ke lokasi terakhir di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil ujian yang dilakukan pasukan SAR mendapati botol itu mampu sampai ke lokasi berkenaan dalam masa empat jam.

“Di samping itu, semua agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih meneruskan segala usaha dalam mencari mangsa yang masih hilang pada hari kelima ini.

“Kalau mengikut aliran air, jarak antara lokasi kejadian jerlus ke loji IWK di Pantai Dalam ialah sebanyak 5.3 hingga enam kilometer yang kini difokuskan pencarian mangsa,” katanya pada sidang media di sini petang ini.

Razarudin hadir ke lokasi mendapatkan perkembangan terkini tentang kehilangan dan pencarian mangsa yang sedang dipergiatkan oleh pasukan SAR.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Negara menambah, berdasarkan maklumat awal, mangsa seorang wanita warga India yang berasal dari Andhra Pradesh, India Vijayaletchumy, 48, itu tertimbus pada kedalaman 10 meter pada Jumaat lalu.

“Macam-macam kita (pasukan SAR) lakukan dalam lurang kumbahan IWK termasuk menggunakan teknologi kamera untuk mencari mangsa hilang itu.

“Pada hari ini juga, Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk melakukan imbasan di lokasi menggunakan kaedah mereka (termasuk Radar Menembusi Tanah(Ground Penetrating Radar).

“Pencarian pada hari kelima ini melibatkan lebih 100 keanggotaan daripada pelbagai agensi berkuasa. Pada masa sama, orang ramai tidak perlu khuatir dengan keadaan keselamatan di kawasan Masjid India.

“Pasukan SAR termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nampak menakutkan tetapi tiada apa yang berlaku,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast