KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan beliau kira-kira 40 tahun lalu melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pembukaan cawangan universiti dari Jepun, Universiti Tsukuba di Malaysia.
Menurut beliau, pembukaan cawangan universiti itu yang kini mempunyai 13 pelajar kumpulan pertama dari kedua-dua negara memberi manfaat yang sangat besar kepada Malaysia.
Ujarnya, ia bukan sahaja dapat membantu kecemerlangan akademik tetapi dapat menguatkan lagi ikatan budaya antara Malaysia dan Jepun.
“Terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Jepun kerana sokongan kepada pembentukan Universiti Tsukuba Malaysia (UTMy) ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, cadangan supaya Kerajaan Jepun membuka cawangan universitinya di negara ini pernah disuarakan beliau ketika lawatan ke Tokyo pada 2018.
Ujarnya, ketika cadangan tersebut dibincangkan dengan Perdana Menteri Jepun ketika itu, mendiang Shinzo Abe, ia bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan pelajar-pelajar dari Asia Tenggara untuk mendapat Pendidikan Jepun dengan kos lebih rendah.
“Akhirnya, hari ini, saya menghadiri pembukaan Universiti Tsukuba di Malaysia yang merupakan universiti Jepun pertama yang buka cawangannya di luar Jepun. Saya gembira ia menjadi realiti,” katanya.
Tambah Dr. Mahathir, selain menimba ilmu, kehadiran universiti itu juga bertujuan menyerap nilai budaya masyarakat Jepun termasuk berkenaan bagaimana mereka melakukan sesuatu perkara, berdisiplin, berkerja keras, berdedikasi dan banyak lagi.
Katanya, beliau percaya budaya sesuatu bangsa akan menentukan sama ada mereka berjaya atau tidak dan perkara itu dilihat beliau ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Jepun pada 1961.
“Jepun ketika itu baru sahaja pulih dari perang dan sibuk untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 1964.
“Mereka bekerja keras untuk membina semula negara dan akhirnya mereka menjadi salah satu kuasa ekonomi dunia.
“Saya kagum dengan disiplin rakyat Jepun dan budaya mereka yang rajin. Saya percaya, jika kita dapat serap sedikit sebanyak nilai-nilai ini, kita juga boleh berjaya sebagaimana rakyat Jepun berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette