Selebriti Indonesia Aura Kasih & Raihaanun dengan Maskot Unifi – Yuni dan peminat semasa pelancaran Unifi TV x Vidio.

KUALA LUMPUR – Unifi TV, platform saluran premium dan aplikasi penstriman terbesar di Malaysia, melancarkan semula Pek Aneka Plus kini dengan Vidio, aplikasi penstriman nombor satu Indonesia, yang juga merupakan salah satu antara tiga platform terkemuka di Asia Tenggara.

Satu-satunya platform penstriman yang menjangkau lebih 4 juta pelanggan di Indonesia sahaja, kandungan Indonesia Vidio dijangka akan dapat di terima baik oleh penonton di Malaysia.

Tawaran komprehensifnya, termasuk siri Vidio Original seperti Gelas Kaca, Ratu Adil dan Santri Pilihan Bunda, menampilkan barisan pelakon seperti Aura Kasih, Dian Sastrowadoyo, Naura Ayu, dan ramai lagi.

Ketua Pegawai Komersial Unifi, Segmen Pengguna, Jasmine Lee berkata, kerjasama dengan Vidio menandakan sebuah pencapaian untuk Unifi TV, menambah nilai yang disediakan kepada pelanggan melalui aplikasi penstriman nombor satu Indonesia.

Dengan kandungan Indonesia premium Vidio yang pelbagai, pelanggan Unifi TV akan mempunyai akses kepada lebih banyak saluran, rancangan TV serta pilihan hiburan dan sukan, semuanya termasuk di dalam langganan jalur lebar.

“Kerjasama ini memperkukuh komitmen Unifi untuk menyampaikan rangkaian perkhidmatan jalur lebar, mudah alih 5G, TV dan gaya hidup yang paling komprehensif sebagai sebahagian daripada tawaran Unifi UniVerse kami.

“Kemasukan Vidio mencerminkan komitmen dalam memberikan lebih nilai kepada tawaran kami, dan sejajar dengan aspirasi Digital Powerhouse TM dalam menyokong akses dan pengalaman digital untuk masa hadapan yang lebih baik,” tambah Jasmine.

Vidio boleh didapati melalui Pek Aneka Plus baharu, yang turut merangkumi lebih daripada 20 saluran premium dan tiga aplikasi penstriman dengan hanya RM30 sebulan.

Pilihan a la carte juga tersedia kepada pelanggan Unifi baharu dan sedia ada (dengan dan tanpa Pek TV) daripada hanya RM8.40 sebulan.

Pelanggan juga boleh menikmati tontonan percuma sehingga 24 September 2024 dengan langganan Vidio a la carte. – MalaysiaGazette