KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said tidak menganggotai Lembaga Pengampunan serta tidak terlibat dengan apa- apa urusan melibatkan Lembaga tersebut.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, sebaliknya berdasarkan Perkara 42 (11), Perlembagaan Persekutuan, Menteri Wilayah Persekutuan adalah salah seorang ahli Lembaga Pengampunan bagi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
ARTIKEL BERKAITAN
Katanya, perkara tersebut disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan iaitu “Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukan Fasal (5), (6), (7),(8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai “Raja atau Yang di-Pertua Negeri” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai “Ketua Menteri Negeri itu” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.”
Jelas BHEUU, ia hanya dipertanggungjawabkan untuk urusan penyelarasan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta menyediakan pelaporan secara terus hanya kepada Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Menteri yang bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, adalah dimaklumkan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan merupakan salah seorang ahli Lembaga Pengampunan bagi Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Oleh itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan melibatkan Lembaga Pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta Azalina membuat penjelasan di Dewan Rakyat berhubung kenyataan yang dikatakan mengelirukan mengenai sekretariat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Beliau ketika bangkit dengan peraturan 36 (12) menjelaskan, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang membuat kenyataan tidak berfakta dan mengelirukan kerana menyatakan menteri bertanggungjawab dalam sekretariat Lembaga Pengampunan membabitkan kes Datuk Seri Najib Razak adalah Menteri Wilayah. -MalaysiaGazette
















