Batrisyia menunjukkan sijil kelahiran miliknya

KOTA TINGGI – Seorang pekebun di Kampung Sungai Telor di sini mengesan ibu kandung kepada anak angkatnya yang dijaga sejak masih bayi.

Sa’ad Mohd Nor, 55, berkata, anak angkatnya, Batrisyia Abdullah, 15, diserahkan kepadanya di Sungai Buloh, Selangor selepas dilahirkan.

“Saya tidak mengetahui identiti ibu kandung Batrisyia namun diberitahu wanita itu tidak mampu menjaga bayinya dan mahu menyerahkan kepada yang boleh menjaganya.

“Saya dan isteri yang memang tidak memiliki cahaya mata pada ketika itu amat berbesar hati untuk menjaga Batrisyia yang dilahirkan di Paya Jaras, Selangor,” katanya ketika ditemui.

Dia dan isteri katanya, sudah anggap Batrisyia seperti anak kandung sendiri.

Katanya, mereka juga menganggap Batrisyia sebagai pembawa rezeki kerana tidak lama selepas menjadikannya anak angkat, isterinya pula mengandung.

“Bagaimanapun kini kami sangat buntu kerana memerlukan kehadiran ibu kandungnya untuk melengkapkan proses pengambilan anak angkat yang sah.

“Tambahan pula sejak mengambilnya 15 tahun lalu kami memang tidak pernah berhubung dengan ibu kandungnya,” katanya.

Menurutnya, kerjasama ibu kandung Batrisyia amat diperlukan bagi membolehkan proses pengambilan anak angkat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjalan lancar.

Dia berharap agar ibu kandungnya dapat tampil dan membantu proses tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast