KUALA LUMPUR – Dua individu yang terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Åsvatnet, Norway, pada 26 Disember 2024 hanya mengalami mengalami kecederaan ringan.
Malah, mereka telah dikategorikan sebagai kes “tanpa kecederaan” oleh pihak berkuasa Norway, dan berada dalam keadaan sihat.
“Mereka juga telah meneruskan perjalanan di Norway tanpa sebarang komplikasi lanjut,” kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan, di sini.
Kementerian juga menjelaskan laporan awal yang menyatakan terdapat empat orang warganegara Malaysia yang terlibat dalam kemalangan tersebut disebabkan salah faham, kerana dua lagi warganegara Malaysia kebetulan berada di hotel yang sama.
Kedua-dua warganegara ini telah disahkan tidak terlibat dalam insiden berkenaan.
Menurutnya, Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan di Norway atas tindakan pantas dan bantuan yang amat bermakna kepada penumpang Malaysia yang terlibat.
“Sokongan dan tindakan segera mereka amat dihargai. Keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan utama Kementerian Luar Negeri,” ujarnya dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette
















