KUALA LUMPUR- Kerajaan disaran untuk menilai semula semua lantikan politik dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan individu-individu yang memegang jawatan penting di dalam agensi tersebut memiliki integriti yang tinggi.
EXCO ARMADA Bersatu Malaysia, Naim Brudage dalam kenyataannya berkata, langkah itu juga adalah bagi memastikan individu yang dilantik dapat melaksanakan tugas yang melibatkan peruntukan awam dengan telus dan bertanggungjawab.
Selain itu, beliau turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memberi penjelasan berhubung keputusan untuk tidak mengambil tindakan jenayah terhadap siasatan kes pemberian projek bernilai RM4 juta oleh DBKL, baru-baru ini.
Ini kerana menurut beliau, kes berkenaan berprofil tinggi dan melibatkan jutaan ringgit wang cukai rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/02/17/projek-dbkl-tiada-elemen-jenayah-tetapi-tatakelola-lemah/
“Ketiadaan penjelasan terperinci boleh menimbulkan persepsi bahawa wujudnya layanan dua darjat dalam siasatan SPRM, terutama apabila individu yang terlibat memegang jawatan politik yang tinggi dalam parti kerajaan sebagai Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan Parti Keadilan Rakyat.
“Lebih membimbangkan, DBKL dikawal selia oleh Jabatan Perdana Menteri yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, yang juga memegang jawatan sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat, parti politik yang sama dengan individu didakwa terlibat dalam salah laku projek DBKL ini,” katanya.
Na’im turut mendesak SPRM dan DBKL untuk memberi justifikasi pemberian kontrak bernilai RM4 juta secara rundingan terus tanpa melalui proses tender terbuka dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk menilai potensi konflik kepentingan, memandangkan individu yang terlibat merupakan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur dan juga mempunyai peranan dalam syarikat yang menerima kontrak tersebut.
Katanya, DBKL juga perlu menjawab mengapa kontrak berkaitan penghasilan kandungan media dan saluran radio disalurkan kepada sebuah kelab sukan dan kebajikan yang tidak mempunyai kaitan dengan industri media.
Selain itu, beliau turut meminta SPRM menjelaskan kelamahan dalam garis panduan tadbir urus DBKL yang dinyatakan suruhanjaya itu selepas siasatan selesai.- MalaysiaGazette
















