Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika hadir pada Program Temu Anwar bersama dengan Universiti Swasta di Management and Science University (MSU) di Shah Alam, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 3 MEI 2025.

SHAH ALAM — Bidang Kecerdasan Buatan (AI) merupakan elemen kritikal dalam kemajuan Malaysia dan generasi muda diseru menguasai teknologi ini secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah memberi tumpuan khusus kepada bidang ini melalui penubuhan fakulti AI di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Petronas (UTP), selain universiti lain yang turut menekankan pembangunan AI.

“AI hari ini adalah seperti revolusi industri dahulu dari mesin ke komputer. Ia kini menjadi teras kemajuan. Jadi, penguasaan dalam bidang ini amat diperlukan.

“AI memuntahkan semula apa yang ia hadam. Maka, penting untuk anak-anak kita ada keupayaan memasukkan ilmu dan aplikasi yang betul agar apa yang keluar itu mencerminkan kefahaman sebenar, bukan sekadar data kosong,” katanya ketika ditemui dalam dalam program Temu Anwar IPTS di Dewan Canselor Management and Science University (MSU), hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya seorang pelajar antarabangsa mengenai sumbangan pelajar dalam memacu pembangunan AI di negara ini.

Menurut Anwar, tindakan segera perlu diambil kerana negara sedang berdepan kekurangan puluhan ribu jurutera dan pakar AI.

“Jadi kalau saudara ada kemahiran, potensi sangat besar, saya cadangkan tumpu dan ada masa serapkan dalam semua sistem dalam negara kita,” katanya.

Tambah beliau, kepakaran dalam AI bukan sahaja terhad kepada aspek teknikal dan pengkodan, tetapi juga perlu disertai dengan nilai, sejarah, dan budaya tempatan.

“AI sepatutnya bukan menggantikan pandangan manusia, tetapi memperkukuhkannya dengan asas nilai yang betul,” ujarnya.

Justeru itu, Anwar menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar menyelaraskan usaha pembangunan AI secara menyeluruh merentasi universiti awam dan swasta.

Katanya, kekuatan penyelidikan dan inovasi tidak sepatutnya terhad hanya kepada universiti awam.

“Kita harus rangkul semua sama ada institusi swasta atau awam selagi ada kepakaran dan kesediaan untuk menyumbang. Inilah perubahan besar dalam pendekatan kita hari ini,” jelas beliau lagi.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi meluaskan pendidikan berkaitan AI.

Sehingga kini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan  Fakulti Kecerdasan Buatan Pertama Negara, sekali gus membuktikan institusi pendidikan negara kini di landasan yang tepat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast