KUALA LUMPUR – Malaysia boleh mengambil contoh daripada kerajaan Singapura, Kanada dan Australia yang mana gabungan rentas parti boleh diwujudkan di sesebuah negara sekiranya dibina atas nilai bersama.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu juga sedang berlaku di negara ini ketika ini yang mana 18 buah parti politik bergabung untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan yang wujud hari ini adalah hasil sokongan daripada 153 Ahli Parlimen iaitu melebihi 148 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk memastikan kestabilan.
Sehubungan itu, tegasnya, jumlah majoriti tersebut harus dipertahankan meskipun tidak lebih banyak, dengan BN mesti menjadi teras kestabilan nasional, bukan sekadar pencatur politik.

“Mudah-mudahan apa yang kita pelajari daripada tiga pilihan raya di tiga negara ini akan dapat menjadi ibrah, iaitu pengajaran untuk kita.
“Kita mesti mengakui bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan kemajmukan ini harus dipertahankan.
“Dan kita mesti menentukan bahawa tidak ada lagi `election of general’ tetapi general election (pilihan raya umum).
“Maka, dalam keadaan itulah kita mesti mempertahankan sistem demokrasi mengikut acuan Malaysia.
“Soal keutamaan kepada kesejahteraan rakyat bukan hanya retorik, tetapi mesti diterjemahkan dengan agenda yang perlu dilaksanakan untuk tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada program Forum Better Nation (BN) keempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.
Forum bertajuk `Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura dan Australia’ itu dikendalikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Forum itu membariskan lima panelis iaitu Felo Kanan Iseas Singapura, Dr. Norshahril Saat; Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Projek Kajian Pembaharuan Pilihan Raya, Madani Research Centre, Amerul Muner Mohamad.
Turut menjadi ahli panelis ialah Profesor Kolej Rockfeller State University of New York (Suny), Prof. Dr. Meredith Weiss dan Pengarah Institut Malaysia, Australia National University, Prof. Madya Dr. Ross Tapsell.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, dalam membandingkan Malaysia dengan ketiga-tiga negara tersebut, negara ini bagaimanapun tetap memerlukan model politik sendiri terutama dari aspek pasca polarisasi.
Menurut beliau, meskipun terdapat parti politik yang memenangi pilihan raya umum disebabkan isu-isu agama dan kaum yang ketara, namun parti berkenaan tidak dapat menterjemahkan kejayaan mereka di negeri-negeri yang dikuasai.
Sebagai contoh, katanya, isu jenayah seperti penyalahgunaan dadah, pemerkosaan dan kecurian adalah antara tertinggi dilaporkan berlaku di empat buah negeri yang ditadbir pembangkang.
“Apabila kuasa ada pada mereka, soal-soal kebejatan sosial atau `social illness’ ini tidak ditangani, maka ini adalah peluang untuk menilai kegagalan mereka.
“Dan kita mesti memecahkan minda yang taksub atau cult (kultus) ini untuk rakyat merealisasikan dukungan kepada BN as better nation (BN sebagai parti lebih baik),” katanya. – MalaysiaGazette
















