Shamsul Iskandar Mohd Akin

MELAKA – Kempen ‘terlajak’ calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk mengekalkan jawatan disandangnya sehingga mencetuskan ketegangan dan kritikan disifatkan sebagai bukan satu tindakan yang bijak.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perebutan jawatan antara Menteri Ekonomi itu dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar diakui sengit sejak pemilihan parti pada 2001.

“Ini bukan kali pertama Keadilan (PKR) menganjurkan pemilihan dan saya ingin ingatkan calon-calon yang bertanding itu supaya menggunakan pendekatan yang lebih sederhana dalam berkempen.

“Sudah tentunya saudara Rafizi selaku calon Timbalan Presiden menggunakan pendekatan itu yang saya tidak fikir ia bijaksana sebaliknya kita harus memberikan suatu keadaan yang kondusif dan kefahaman kepada anggota parti.

“(Bukannya) melakukan tindakan-tindakan yang boleh mencacatkan persepsi anggota parti dan juga rakyat,” katanya

Beliau ditemui selepas menyampaikan kunci Rumah Mesra Rakyat 2025 Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada dua penerima di Taman Desa Molek, Ayer Molek di sini hari ini.


Shamsul Iskandar (tengah) melakukan simbolik penyerahan kunci Rumah Mesra Rakyat SPNB kepada dua penerima di Taman Desa Molek, Ayer Molek, Melaka hari ini.

Pada pemilihan kali ini, Rafizi menerusi beberapa siri kempen Jelajah HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) didakwa telah membuka ruang kepada politik personaliti dan serangan dalaman.

Serangan terbuka kepada kepemimpinan PKR serta Anwar juga dilihat telah mencetuskan kekeliruan, ketegangan dan kritikan sehingga mendorong kepada perpecahan dalam parti.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar yang juga Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya, berkata, Anwar selaku Presiden PKR sudah memberi panduan dan peringatan kepada semua calon bertanding.

“Istilah yang digunakan oleh Perdana Menteri ialah ‘jangan lajak’ jadi kita faham adalah supaya berkempen dalam suasana yang harmoni.

“Sebagai pemimpin politik yang lama tentunya kita mahu menjadikan pemilihan ini satu medan untuk memilih pemimpin yang boleh diterima oleh pelbagai kaum,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast