JOHOR BHARU – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Pemilihan PKR 2025 menjangkakan keputusan rasmi kepimpinan baharu parti dijangka seawal malam esok.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan rasmi itu dijangka dapat diumumkan selepas ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan rasmi akan diumumkan (malam esok), kalau boleh dipercepatkan pada hari yang sama dan paling lewat petang Sabtu. Kita cuba dalam sekitar perasmian sama ada selesai penggulungan daripada Presiden atau pun sebelum,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan taklimat kepada media, hari ini.
Hadir sama adalah Setiausaha Agung PKR, Fudziah Saleh dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil yang hadir dalam sesi lawatan rasmi di Persada Johor, hari ini.
Jelas Zaliha, pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay.
“Perwakilan biasa dan tambahan akan melakukan pengundian secara atas talian, walaupun mereka datang ke pusat pengundian tetapi mereka tidak boleh mengundi di pusat pengundian yang telah kita sediakan,” katanya lagi.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching sementara perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat serta Wanita Pusat tidak perlu hadir secara fizikal kerana pengundian dilakukan secara dalam talian pada tarikh dan masa yang sama menerusi aplikasi ADIL.
Dalam pada itu, Zaliha berharap proses pengundian yang bermula esok berjalan lancar dan tiada gangguan kepada sambungan internet kepada Pemilihan bermula.
“Kita harap tidak berlaku apa-apa kejadian dan berjalan lancar dengan baik,” katanya.
Untuk rekod, seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028 yang merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Proses pencalonan pemilihan parti menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan presiden manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula,12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK, manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadual berlangsung malam ini hingga 24 Mei. – MalaysiaGazette
















