KUALA LUMPUR – Cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun berisiko menafikan peluang pekerjaan kepada golongan muda, khususnya wanita muda yang sedia berdepan pelbagai cabaran dalam pasaran kerja.
Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Ezzati Azmi berkata, ketika kadar pengangguran belia masih tinggi dan wanita muda terus terhimpit dengan diskriminasi halus dalam kerjaya, keutamaan kerajaan seharusnya memperluas akses kepada pekerjaan berkualiti dan membina sistem ekonomi yang lebih adil serta inklusif.
“Ketika ramai anak muda masih menganggur dan graduan terus berdepan dengan ketidakpadanan kerja, kerajaan dilihat lebih sibuk mencadangkan dasar-dasar yang tidak menyentuh keperluan sebenar masyarakat hari ini.
“Laporan Khazanah Research Institute mendedahkan lebih satu per tiga graduan negara ini memulakan kerjaya dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka, dan kekal dalam keadaan tersebut untuk tempoh yang lama.
“Ini bukan sekadar pembaziran potensi ini adalah kegagalan struktur ekonomi untuk menjana pekerjaan berkualiti,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, diskriminasi gender masih berlaku secara senyap tetapi sistematik termasuk dalam bentuk jurang gaji berbanding lelaki walaupun memiliki kelayakan setara, dan peluang kenaikan pangkat yang lebih sukar terutama bagi mereka yang sudah berkahwin atau mempunyai anak.
Keadaan ini menyebabkan ramai wanita muda akhirnya terpaksa beralih ke sektor tidak formal atau pekerjaan bergaji rendah, bukan kerana kurang berkelayakan, tetapi kerana sistem yang ada gagal menyediakan ruang adil untuk mereka berkembang.
“Dalam keadaan seperti ini, cadangan menaikkan umur persaraan hanya akan menyempitkan lagi peluang pekerjaan kepada golongan muda, termasuk wanita muda yang masih berusaha membina kehidupan dan kestabilan kewangan.
“Kadar pengangguran belia Malaysia pada 2024 kekal tinggi iaitu 10.4 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 24 tahun, dan 6.2 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun.
“Apakah ini bukan isyarat cukup kuat bahawa keutamaan kerajaan sepatutnya difokuskan kepada memperluas peluang kerja dan membaiki struktur gaji terlebih dahulu?,” soal beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya lebih peka dan bertanggungjawab dalam merangka dasar, serta tidak membawa cadangan besar yang tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
Tegasnya, wanita muda Malaysia tidak memerlukan dasar bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya mendambakan peluang yang adil serta masa depan yang setara.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.
Azalina yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata, adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja – MalaysiaGazette