KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melaporkan produktiviti buruh per jam bekerja bertumbuh satu peratus kepada RM42.5 sejam bagi suku tahun pertama 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia disumbangkan daripada pertumbuhan ekonomi negara yang mencatatkan 4.4 peratus pada suku tahun pertama 2025 berbanding 4.9 peratus pada suku tahun keempat 2024,
“Jumlah jam bekerja meningkat 3.3 peratus bagi mencatatkan 9.8 bilion jam (ST4 2024: 3.5%; 9.7 bilion jam),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Uzir, jumlah bilangan pekerja menunjukkan pertumbuhan tiga peratus berjumlah 16.9 juta orang dari tahun ke tahun pada suku tahun pertama 2025.
“Manakala produktiviti buruh per pekerja meningkat 1.3 peratus untuk merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM24,580 seorang,” katanya.
Beliau juga berkata, produktiviti buruh diukur dari nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembinaan pada 11.3 peratus berbanding 18.7 peratus pada suku tahun empat 2024.
“Sektor pembuatan pula meningkat kepada 2.8 peratus (ST4 2024: 2.2%), diikuti sektor perkhidmatan pada 0.5 peratus (ST4 2024: 0.9%) dan sektor pertanian pada 0.1 peratus (ST4 2024: -1.9%).
“Manakala sektor perlombongan dan pengkuarian merosot pada negatif 0.9 peratus (ST4 2024: -2.4%),” katanya.
Menurut Uzir, walaupun produktiviti buruh per jam bekerja mencatatkan peningkatan kecil pada suku ini, namun sektor perkhidmatan menunjukkan variasi prestasi bagi kebanyakan subsektor.
“Antaranya hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.0%), pengangkutan dan penyimpanan (4.3%), perkhidmatan lain (2.8%), maklumat dan komunikasi (0.8%) serta perdagangan borong dan runcit (0.6%).
“Namun begitu, tiga subsektor lain menunjukkan pertumbuhan negatif, iaitu utiliti (-6.3%), makanan & minuman dan penginapan (-2.5%) dan kewangan dan insurans (-0.4%),” katanya.
Sementara itu, kata Uzir, kebanyakan subsektor menunjukkan pertumbuhan dalam produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor pembuatan pada suku tahun pertama 2025.
“Antaranya minyak dan lemak sayuran, haiwan serta prosesan makanan (9.3%), minuman dan produk tembakau (7.1%), produk elektrik, elektronik dan optikal (6.6%), produk tekstil, pakaian dan kulit (2.7%).
“Ini diikuti dengan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.9%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (0.3%) kecuali peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (-6.1%) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-2.7%),” katanya.
Selain itu, katanya, prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja, sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 13.2 peratus pada suku ini.
“Ini diikuti sektor pembuatan pada 2.2 peratus, perkhidmatan pada (0.8 peratus) dan pertanian (0.3 peratus), manakala perlombongan dan pengkuarian merosot pada negatif 3.2 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, prestasi produktiviti buruh per pekerja bagi sektor perkhidmatan pada suku tahun pertama 2025 disumbangkan oleh enam subsektor.
“Antaranya hartanah dan perkhidmatan perniagaan (5.1%); pengangkutan dan penyimpanan (4.3%); perkhidmatan lain (2.9%), kewangan dan insurans (0.8%), makanan & minuman dan penginapan (0.2%) dan perdagangan borong dan runcit (0.1%).
“Manakala dua subsektor lain merosot iaitu utiliti (-5.9%) dan maklumat dan komunikasi (-0.1%),” katanya.
Selain itu, katanya lagi, lima subsektor mencatatkan peningkatan dalam produktiviti buruh per pekerja bagi sektor pembuatan pada suku ini.
“Antaranya produk elektrik, elektronik dan optikal (6.4%); minyak dan lemak sayuran & haiwan dan prosesan makanan (6.3%); produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.1%); petroleum, kimia, getah dan plastik (1.0%) dan mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (0.9%).
“Sebaliknya, tiga subsektor lain merosot, iaitu peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (-8.8%), tekstil, pakaian dan kulit (-0.6%) dan Minuman serta produk tembakau (-0.1%),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















