Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menyampaikan ucapan ketika hadir pada Program BN Forum ke-4 yang dikendalikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Auditorium Menara Dato Onn (WTC) Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 22 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu membina naratif baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) terutama yang menyentuh keresahan rakyat seperti soal kenaikan harga barang, perumahan dan masa depan generasi muda.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara pengajaran yang boleh diambil daripada hasil keputusan pilihan raya umum di Singapura; Kanada dan Australia.

Selain itu, kata beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, BN juga boleh mempelajari transformasi organisasi dan komunikasi dalam parti politik pemerintah di negara itu yang mana jentera politik moden dan dinamik mesti diwujudkan.

Jelas beliau, menerusi pendekatan itu, penggunaan data dan`micro targeting’ serta komunikasi dua hala dengan pengundi perlu dipergiatkan ketika berkempen, bukan hanya sekadar komunikasi secara bersemuka.

“Walaupun ceramah, taaruf atau apa jua bentuknya itu harus diteruskan, tetapi ia bukan lagi menjadi satu medium komunikasi yang utama,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada program Forum Better Nation (BN) keempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.

Forum bertajuk `Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura dan Australia’ itu dikendalikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Forum itu membariskan lima panelis iaitu Felo Kanan Iseas Singapura, Dr. Norshahril Saat; Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Projek Kajian Pembaharuan Pilihan Raya, Madani Research Centre, Amerul Muner Mohamad.

Turut menjadi ahli panelis ialah Profesor Kolej Rockfeller State University of New York (Suny), Prof. Dr. Meredith Weiss dan Pengarah Institut Malaysia, Australia National University, Prof. Madya Dr. Ross Tapsell.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pengajaran lain yang boleh diambil daripada PRU di tiga negara berkenaan adalah keperluan untuk mewujudkan politik intelektual dan berani.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, rakyat hari ini semakin celik dengan politik semasa dan mahukan politik yang mempunyai pengisian (substance).

Sehubungan itu, katanya, BN dan UMNO perlu memastikan pemimpin parti tersebut mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat negarawan, bukannya secara semberono atau retorik politik semata-mata.

“Untuk itu, sebagai strategi BN untuk bangkit dalam pilihan raya yang akan datang, kita mesti mencanaikan agar BN bangkit dengan politik harapan atau political hopes dan BN perlu kembali sebagai sebuah organisasi politik untuk membina kekuatan yang mampu memimpin dengan kestabilan dan dasar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast