Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu sedia menerima Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai ahli parti itu.

Kesediaan itu disuarakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dalam satu catatan ringkas menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Meskipun tidak dinyatakan dengan terperinci, namun pelawaan itu berkemungkinan atas dasar sekiranya Rafizi tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR yang akan diadakan esok.

“InsyaAllah kita boleh pertimbang kalau Saudara Rafizi berminat HIJRAH untuk menjadi Ahli Bersatu Terengganu,” katanya.

Catatan di FB Razali Idris.

Bagaimanapun, meninjau di ruangan komen, ramai yang tidak bersetuju dengan pelawaan dibuat Razali berkenaan.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Mohd Zamri Mohd Sham misalnya berkata, Rafizi tidak perlu diterima dalam waktu terdekat ini, sebaliknya Menteri Ekonomi berkenaan perlu dibiarkan `bertapa’ untuk tempoh dua atau tiga tahun terlebih dahulu.

“Dah berubah baru boleh dipertimbangkan….” tulisnya lagi.

Seorang lagi pengguna Facebook yang mengguna nama Mohd Norhisham Ghazali pula berkata, Rafizi berpotensi besar untuk menjadi liabiliti kepada Perikat Nasional (PN) jika menyertai Bersatu.

“Biarlah dia masuk UMDAP. Untung nasib boleh jadi `Presideng’,” katanya.

Rafizi bakal berdepan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sempena pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028 yang akan berlangsung esok di Johor Bahru.

Bagaimanapun, tumpuan kini lebih terarah kepada Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merampas jawatan tersebut daripada Rafizi.

Malah, Rafizi sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk melepas jawatan Menteri Ekonomi sekiranya gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR sebagai langkah menghormati mandat akar umbi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen PKR Pandan meskipun mungkin tidak lagi menganggotai Jemaah Menteri.

Sebelum ini, Rafizi turut mendedahkan beliau pernah menerima tawaran untuk menyertai Pas susulan beberapa insiden yang berlaku sepanjang kempen Pemilihan PKR kali ini.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menyifatkan Rafizi tidak sesuai menyertai Pas kerana tidak memenuhi ciri-ciri perjuangan dan kelayakan yang dituntut oleh parti berasaskan Islam itu. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast